[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29]

Rentas jelajah
tanah, Arahjaya berkeluasan 343 kilometer persegi dan merupakan sebuah wilayah
yang membangun. Dengan populasi mencecah 1.358 juta orang penduduk, Arahjaya
dibahagi kepada lima bandar utama: Bandar Utara, Bandar Selatan, Bandar Barat,
Bandar Timur dan Pusat Bandar Arahjaya. Di antara kelima-lima bandar tersebut,
Bandar Selatan merupakan bandar yang berpenduduk paling padat, kira-kira 424
ribu orang. Rumah Johan dan kawasan perumahan di mana rumah Prof. Erman dan
rumah Intan berada terletak di dalam Bandar Selatan. Pusat Bandar merupakan
kawasan paling kurang penduduk, kerana di situ berpusatnya pelbagai bangunan
pejabat dan pusat pentadbiran kerajaan termasuk kompleks membeli-belah utama.
Lapangan Terbang Utama Arahjaya terletak di selatan Bandar Timur, sebuah
kawasan yang luas tetapi dikelilingi dengan ladang kelapa sawit dan hutan
belantara.
20 Mac 2004, jam 1036.
Di bahagian
selatan Bandar Timur.
Kereta yang dipandu
Prof. E sudah sampai di sebuah jalan mati. Di hadapan hanyalah kawasan hijau yang
dipenuhi dengan pokok tinggi dan diiringi bunyi unggas.
“Kita sudah di
penghujung jalan. Kita jalan kaki, dan di depan sana akan bertemu dengan jalan
keretapi. Jalan keretapi itu berhubung terus dengan lapangan terbang untuk
tujuan membawa penumpang dan barangan dagangan. Kalau kita bergerak sepanjang
jalan keretapi, kita mungkin bernasib baik akan bertemu dengan mana-mana
kawasan yang boleh dijadikan tempat persembunyian Intan.” Prof. E memberi
penerangan panjang lebar.
Johan sudah
berdiri berhadapan dengan hutan yang bakal mereka rentasi dengan memegang
pemotong dawai di tangan kanan. Terselit di sebelah kiri pinggangnya adalah
pisau pendek bersarung. Prof. E hanya memegang sebatang batang besi panjang.
Dengan tidak
mengetahui berapa lama perjalanan mereka sebelum menjumpai kawasan Intan
disembunyikan, ataupun dengan siapa bakal mereka hadapi, kedua-dua Johan dan
Prof. E mula melangkah masuk ke dalam hutan.
Pada masa yang sama, di rumah Intan yang terletak di
utara Bandar Selatan:
Di ruang tamu, selain
adanya pegawai polis yang sedang menyiasat tempat kejadian, juga terdapat Encik
Ahmad yang sedang memeluk erat isterinya di sisi. Mereka berdua duduk di atas
sofa, rapat berpelukan sesama sendiri. Encik Ahmad cuba menenangkan isterinya yang
baru sahaja mampu duduk selepas tersedar dari pengsan dipukul penculik.
Isterinya masih tidak kering airmata. Encik Ahmad hanya mampu menepuk bahu
isterinya berkali-kali, memujuk agar tidak terus menerus menangis. Namun, dalam
tenang Encik Ahmad, dia juga menyalahkan dirinya kerana tiada semasa peristiwa
itu berlaku. Encik Ahmad kerja di luar bandar. Selepas mendengar berita
kejadian, dia dengan pantas meluru pulang tanpa mempeduli berapa besar kerja
yang dilakukannya. Padanya, tiada yang lebih besar pentingnya dari keluarga. Kerja
boleh dicari, keluarga tiada ganti.
“Aku patut lebih
tahu. Keluarga aku dalam bahaya. Aku tak patut tinggalkan mereka.” Hati kecil
Encik Ahmad merintih sesal. Kini, anaknya diculik, sedangkan pihak polis masih
belum dapat petunjuk siapa pelaku jenayah. Pihak penculik juga belum membuat
apa-apa panggilan meminta wang tebusan atau sesuatu seperti itu. Mereka, Encik
Ahmad dan pihak polis, jadi buntu.
Kemudian, datang seorang
pegawai polis berpakaian preman menghampiri Encik Ahmad dan isteri.
“Encik Ahmad, ada
seseorang di luar mahu berjumpa dengan encik. Katanya dia kenalan rapat encik
dan dia berkeras mahu membantu. Patutkah saya bawa dia masuk?” jelas pegawai
polis itu. Encik Ahmad hanya mengangguk setuju.
Tiada sebarang
tekaan dari Encik Ahmad mengenai siapakah tetamu itu. Padanya, biar siapapun
dia, itu tidak penting. Apa yang penting, dia perlukan seseorang yang boleh memberi
perkembangan.
“Ahmad, apa
khabar? Sihat?”
Suara itu
membuatkan Encik Ahmad laju memalingkan kepala ke arah empunya. Isterinya di
sisi juga terkejut dengan reaksi suaminya, juga memaling ke arah suara itu
datang.
Suara itu milik
kenalan perniagaan Encik Ahmad, lebih tepat, musuh perniagaannya, Encik Alex.
“Encik Alex!”
Kata-kata Encik Ahmad termati. Dia tidak dapat respon alasan khusus kenapa
musuh perniagaannya kini berada di depan mata di saat keluarganya ditimpa
musibah.
“Janganlah ber’encik-encik’
dengan saya. Panggil saja Alex.”
Tepat mata Encik
Ahmad bertembung dengan mata Encik Alex. Encik Ahmad masih tidak dapat fikirkan
alasan dan niat sebenar Encik Alex. Apa yang dia boleh ingat adalah ayat
terakhir Encik Alex lemparkan kepadanya di pertemuan terakhir mereka beberapa
hari lalu.
Aku akan pastikan
kau terima padahnya, berkali ganda.
“Boleh kita
bercakap berdua?” Encik Alex merujuk kepada kehadiran isteri Encik Ahmad di
sebelah. Setelah memujuk seketika, Encik Ahmad bangun dari sisi isterinya dan
bersama Encik Alex ke satu sudut di hujung ruang tamu di mana jauh dari
mana-mana orang ketiga.
“Saya ada dengar
anak awak diculik.”
Saya? Awak? Sejak bila si Alex ni pandai berbudi bahasa.
“Saya faham
sedihnya perasaan anak diculik. Jadi, saya datang nak tolong.”
“Bagaimana?” balas
Encik Ahmad, pendek.
“Macam ni... Tapi
awak kena diam-diam, tak boleh beritahu orang lain, terutamanya polis.”
“Bagaimana?”
“Macam ni... Saya
ada kenal beberapa orang besar dalam kumpulan sindiket sekitar sini.”
Kenyataan itu
membeliakkan mata Encik Ahmad.
“Kalau awak nak,
saya boleh minta tolong mereka carikan siapa yang culik dan lepaskan anak awak
dengan selamat. Kalaulah awak nak...”
Berurusan dengan
orang licik dan berniat jahat seperti Alex ini selalunya bukan percuma.
“Jadi, what’s in it for you?”
Soalan terus dari
Encik Ahmad itu menguntumkan senyuman di bibir Encik Alex.
“Saya hanya
berharap awak dapat lepaskan projek shopping
mall yang kita bersaing sebelum ini, dan serahkan sepenuhnya kepada
syarikat saya.”
Tidak syak lagi, si Alex ni memang licik macam ular.
“Awak kena tahu,
berurusan dengan ketua sindiket jenayah bukan sesuatu yang mudah dan murah.
Kita sama-sama, semua ada kepentingan. Yang penting tak melibatkan polis, ya.”
Tangan Encik Alex naik ke bahu Encik Ahmad, memegang seperti akrab dua rakan
baik, kononnya. Jelas Encik Ahmad tidak selesa.
“Jangan risau. Ambillah
masa fikirkannya. Tapi, lagi lama awak tangguh, lagi susah nak pastikan anak
awak dalam keadaan selamat.”
Selepas menepuk
bahu Encik Ahmad beberapa kali, Encik Alex berjalan menuju ke pintu. Semasa
berlalu di sebelah isteri Encik Ahmad yang sedang duduk di sofa, Encik Alex
sempat senyum sambil menunduk sedikit kepada isteri Encik Ahmad. Isteri Encik
Ahmad juga membalasnya.
Encik Ahmad
berdiri di hujung penjuru ruang tamu dengan dua jari telunjuk dan ibu jari
memicit ruang antara dua matanya. Macam-macam yang difikirkannya. Tetapi,
ultimatumnya adalah pilihan antara anaknya, Intan dengan projek mega pembinaan
kompleks membeli-belah yang menjadi impiannya sejak dari dulu lagi. Pilihannya
jelas, tapi disebabkan pilihan itu datang dari seseorang seperti Alex, Encik
Ahmad terpaksa berfikir sedalam-dalamnya.
