[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26]

Intan membuka
matanya. Merah dan kering. Dia kelihatan keliru.
Di mana aku berada?
Bagaimana aku boleh ada di sini?
Siapa yang bawa aku ke sini?
Setiap soalan yang
bertubi-tubi menjengah ruang pertanyaan mindanya, ditepis satu persatu. Ingatan
terakhirnya adalah diusung oleh lelaki yang tidak dikenali, keluar dari
rumahnya dan dimasukkan ke dalam sebuah van sebelum ditampar sehingga pengsan. Kesan
sakit ditampar di pipi masih dirasainya, mungkin sudah biru kelebaman. Kini,
kedua-dua tangan dan kakinya diikat ketat, dan mulutnya tertampal dengan pita
pelekat. Dia sedar dirinya diculik.
Walaupun dalam ketakutan,
Intan memaksa diri supaya bertenang dan cuba mengenali keadaan sekeliling.
Setelah diamati, Intan
mendapati dia sedang berbaring merekot di atas sekeping tilam di hujung penjuru
sebuah bilik. Bilik itu kosong, hanya berisi dirinya, tilam yang menjadi alas antara
badannya dengan lantai dan sebuah kerusi kayu terletak di bahagian tengah
bilik. Bilik itu kelihatan seperti sudah lama dan ditinggalkan, usang. Pintu
bilik berada di dinding paling jauh, dan tingkap berada di dinding bertentangan
dengan pintu. Tingkap ditampal dengan surat khabar lama dengan tidak kemas, membuatkan
terdapat celahan. Cahaya dari luar dapat dilihat melalui celahan itu, jelas
menunjukkan hari sudah disinari matahari. Mungkin pagi.
Seketika, di luar
tingkap terdapat bunyi bising mekanikal yang mengambil masa untuk berlalu.
Apakah itu? Ianya seperti bunyi keretapi melintas.
Kemudian, kedengaran
tombol pintu bilik bergoncang. Intan kembali memejamkan mata, berpura-pura
masih tidak sedarkan diri.
“Aku mahukan bayaran
aku.” Dua orang lelaki masuk ke dalam bilik bersama selepas pintu di buka.
Intan cuba membuka sedikit matanya untuk melihat siapa mereka. Salah seorang
adalah lelaki berbadan tegap, salah seorang dari tiga yang memecah masuk ke
rumahnya, cuma kali ini tanpa topeng di muka. Manakala, seorang lagi adalah
seorang lelaki yang berpakaian kemas lengkap berkot dengan tali leher seperti
ahli korporat. Intan kembali memejamkan mata sambil mendengar dengan teliti
setiap butir kata-kata yang dua lelaki itu ucapkan.
“Aku cuma nak kamu
semua gertak dia sekeluarga supaya dia lari, pergi dari negeri ini. Tapi kenapa
sampai tahap culik anak dia?” ujar lelaki berpakaian kemas itu. Lelaki berbadan
tegap itu tersenyum sinis.
“Encik Alex, bertenang.
Kami sentiasa buat kerja dengan cemerlang. Kami sudah gertak dan pastikan
mereka akan tinggalkan tempat ini dengan segera. Budak perempuan ini adalah
jaminan untuk usaha kami itu.” Lelaki berbadan tegap itu bergerak ke arah
kerusi dan kemudian duduk mengadap lelaki yang dipanggilnya ‘Encik Alex’ itu.
“Apa maksud kau,
Zul?”
Lelaki berbadan
tegap itu dipanggil Zul. Intan akan mengingatinya.
“Beritahu aku,
Encik Alex. Kalau anak perempuan mereka pulang ke rumah selepas diculik, dan memberitahu
ibubapanya bahawa dia dirogol, apa tindakan si ibu dan bapa?”
DIROGOL?
Intan terkejut,
namun dia masih mampu mengawal ketakutan dan terus mendiamkan diri.
“Jawapannya ada dua.
Sama ada ibubapanya berasa malu dan berpindah, ataupun dia sendiri tak mahu
terkenangkan memori pahit, lalu menyuruh sekeluarga berpindah.”
Encik Alex
tersenyum, faham.
“Mana-manapun,
hasilnya tetap akan memuaskan hati Encik Alex.”
Zul dan Encik Alex
gelak besar, terbahak-bahak.
“Pastikan kau beri
kenangan paling pahit kepada budak perempuan ini, supaya si Ahmad dan
keluarganya akan berambus dari negeri ini dan tak akan kembali lagi.” Sebelah
tangan Encik Alex menepuk bahu Zul sebagai tanda berpuas hati. Zul tersenyum
lebar.
“Jangan risau,
Encik Alex. Lagipun, dia memang taste
aku. Aku akan pastikan dia tak akan lupa keindahan masa kami berdua malam ini.”
Zul kemudian
mengeluarkan lidah dan menjilat bibir sendiri, sambil menatap sekujur tubuh
gadis yang terbaring di atas tilam. Intan menjadi semakin takut.
“Jadi...”
Zul bangun dari
kerusi dan memegang belakang Encik Alex dan bergerak menuju ke pintu.
“...apa kata kita
berbincang tentang bayaran yang dijanjikan.”
Kedua-dua Encik
Alex dan Zul keluar dari pintu. Selepas ditutup, kedengaran bunyi pintu dikunci
kembali dari luar.
Selepas berasa dia
kembali keseorangan, Intan kembali membuka mata. Badannya menggigil secara
tiba-tiba. Jelas, dia sudah tidak mampu menahan ketakutan. Airmata meleleh
tanpa henti, membasahi tilam buruk yang mengalas dirinya.
ROGOL.
Perkataan itu
berkali-kali terngiang bergema di telinga. Adakah ini kesudahannya? Adakah ini
nasibnya? Bagaimana dengan Ibu? Di mana Ayah? Ada sesiapa yang mampu
membantunya?
Seketika, tombol
pintu kembali bergoncang. Intan terpaksa menahan rasa takutnya dan kembali berpura-pura
tidak sedarkan diri.
Pintu terbuka.
Masuk seorang lelaki lain, kali ini yang berbadan besar. Lelaki itu juga salah
seorang dari tiga yang memecah masuk ke rumah Intan. Lelaki itu, dalam keadaan
berjaga-jaga sambil berkali-kali melihat ke luar, dengan perlahan menutup pintu.
Dia seolah-olah seperti pencuri, berjalan jengket di hujung tapak kaki, tanpa
bunyi, menghampiri Intan. Intan sedar dirinya dihampiri. Nafas si lelaki itu
semakin kuat berderu seperti menahan sesuatu. Menahan nafsu.
Dari atas kepala,
sampailah ke hujung kaki, seluruh tubuh Intan ditatapinya. Lelaki berbadan
besar itu cukup gelojoh menjamu mata. Pandangannya tertumpu kepada bahagian
tengah badan Intan. Berkali-kali lidahnya menjilat bibir. Dengus nafasnya
semakin kuat dan laju. Kedua-dua tangannya saling bergosok, seperti tidak sabar
untuk mendarat ke tubuh Intan. Peluh keluar dari celah rambut nipisnya. Lelaki
itu kelihatan rakus, seperti sedang menunggu makanan kegemaran yang terhidang
di depan mata untuk disuap.
Lelaki itu kemudian
meletakkan pandangan mata tepat ke arah betis Intan. Seluar tidur yang dipakai
Intan hanya menutup sehingga ke bawah lutut, menampakkan sebahagian dari betisnya.
Dengan nafsu menguasai diri, lelaki itu memulakan sajian dengan menghulurkan
tangan kanan ke arah betis putih Intan. Tangan berbulu yang besar itu perlahan
menghampiri. Apabila tersentuh jari lelaki itu dengan betis Intan, dengan
refleks, kaki Intan melurus dan tertendang jatuh si lelaki berbadan besar itu.
Terduduk lelaki itu seperti guni beras jatuh ke lantai.
“ADUUUH!” jerit
lelaki itu.
Intan sedar dia
sudah tidak boleh berpura-pura tidak sedarkan diri, lantas dia perkemaskan
kedudukan dirinya dengan mengesot duduk ke hujung penjuru tilam, menjauhi
lelaki berbadan besar itu.
“Kau dah sedar
rupanya. Baguslah. Aku suka mangsa meronta-ronta.”
Lelaki itu
kemudian bangun dan kembali menghampiri Intan. Intan ingin menjerit, namun
tiada suara yang keluar, hanya bunyi kecil di dalam mulut yang ditahan tampalan
pita pelekat. Apa yang mampu dia buat adalah dengan meronta sambil mengacukan
tendangan dengan kedua-dua kaki yang terikat bersama.
Lelaki itu menepis
tendangan Intan. Lalu ditekannya kaki Intan dengan tangan sebelum ditindih
dengan lutut. Pada masa itu, Intan sudah kepenatan dan hilang kudrat, hanya
mampu menghayunkan tangannya yang juga terikat. Mengalir laju airmata, laju
juga titisan peluh dari kepala.
“Jahanam!”
Kedengaran jeritan
memecah suasana. Lantas, terdapat kaki terlibas tepat mengenai pipi kanan
lelaki itu dari belakang badannya. Terjatuh lelaki berbadan besar itu ke tepi
tilam sekali lagi, namun kali ini, menyembah bumi. Tendangan padu itu datang
dari lelaki berbadan tegap yang dipanggil Zul tadi.
“Biadab kau, Bawi.
Aku dah kata biar aku yang rasmi malam ni. Lepas aku selesai, baru giliran kau.”
Lelaki yang
dipanggil Bawi itu bergerak ke tepi, menjauhi Intan. Tajam mata Zul menatapnya,
kemarahan. Intan pula sedang menggeletar seluruh badan di atas tilam, terkecut
di hujung penjuru.
“Patut nama kau ni
bukan Bawi, tapi Babi. Nafsu mengalahkan babi. Pergi kau keluar sebelum aku
potong batang besar kelingking kau tu.”
Bawi tanpa
kata-kata, bangun dari punggungnya dan beredar keluar dengan gesa-gesa.
Zul kemudian
mengubah pandangannya ke arah Intan.
“Jangan risau, si
cantik. Kau terselamat. Berehatlah. Malam nanti kau tentu akan perlukan tenaga
yang banyak.” Zul mencolek air peluh yang mengalir di pipi Intan dengan jari,
lalu dimasukkannya dalam mulut dengan wajah kepuasan.
“Ahh! Peluh si
dara. Aku suka.”
Zul kemudian
beredar keluar dari bilik. Pintu kembali tertutup dan berkunci.
Walaupun terasa
terselamat, tapi Intan sedar, ada bala lagi besar dan teruk yang dia bakal
hadapi. Tubuhnya masih tidak berhenti menggigil. Airmatanya masih tidak
berhenti mengalir. Peluhnya masih tidak berhenti menitis.
“Ya Tuhan Yang
Maha Berkuasa, selamatkanlah hamba-Mu ini.”
Ratapan Intan
kemudian diikuti dengan bunyi bising seperti deruan enjin kapal terbang
melintas rendah.
