Feb 8, 2013

Vorteks #20 - Harapan dari Masa Depan.

0 nota kaki

[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19]





Hela nafas dihembus panjang. Johan masih di hujung katil dalam percubaannya mengingati apa yang berlaku pada 20 Mac 2004.
Tanpa disedarinya, waktu sudah menginjak 30 minit memasuki 20 haribulan.

Kerana buntu, dan dalam masa sama, tidak mampu lelap tidur, Johan keluar dari bilik tanpa hala tuju. Koridor tingkat atas yang gelap, namun kelihatan sedikit sinar cahaya keluar dari celah bawah pintu bilik tingkat loteng.
“Mungkin Prof. Erman masih belum lena...”
Optimis dan ingin tahu, Johan bergerak naik ke tangga loteng sebelum ketuk pintu bilik loteng meminta izin masuk.
“Masuklah...” Kebenaran diperoleh. Perlahan-lahan pintu dibuka dan kepala tertonjol masuk. Kelihatan Prof. E sedang duduk di kerusi kerjanya sambil menghadap sebuah komputer dan timbunan kertas dan buku rujukan. Ada gelas berisi kopi masih berasap di tepi tetikus komputer.
“Saya mengganggu Prof ke?”
“Kalau mengganggu pun, kau dah pun masuk ke bilik. Bukan kau boleh patah balik pun.” Agak ironi kata-kata Prof. Erman itu memandangkan ia ditujukan kepada seseorang yang datang dari masa hadapan. Johan tersenyum. Dia mengheret satu kerusi yang terletak di tepi pintu, rapat ke meja kerja Prof. Erman.
“Macam mana dengan kajian Prof?”
Prof. E memandang Johan tanpa ekpresi muka.
“Secara teori, aku rasa aku dah selesai. Namun, praktikal aku tak pasti. Satu-satunya cara nak tahu sama ada ianya berkesan adalah dengan menanti kedatangan kilat besar yang bakal menyambar loteng ini hari isnin malam selasa nanti. 22 haribulan, malam 23.”
“Berapa peratusan kejayaan?”
Prof. E terdiam seketika. Jelas, dia tiada jawapan untuk soalan Johan itu.

“Aku pernah berjanji kepada diri sendiri, kalau aku mampu mencipta mekanisma merentas masa, destinasi pertama aku ialah bilik ini pada 1 Januari 2000. Empat tahun lalu.” Prof. E memusingkan kerusinya mengadap ke komputer.
“Aku akan kembali kepada tarikh itu, dan beritahu aku pada waktu itu segala maklumat yang dia perlu tahu supaya dia dapat cipta mesin masa sesegera mungkin.”
Johan berkerut dahi.
“Kau masih ingat tentang ‘paradoks masa’ yang pernah aku ceritakan hari tu?”
“Ya.”
“Kalau pada 1 Januari 2000, ada aku dari masa depan datang bertemu aku pada waktu itu dan berikan data-data tentang kajian ini, maka aku sekarang sudah pasti mampu merentas masa sesuka hati...”
“...Namun, aku masih di sini, sedang sedaya upaya mengkaji, sedangkan tahun 2000 sudah empat tahun berlalu.”
“Maknanya, pada 1 Januari tahun 2000, tiada Prof dari masa depan datang bertemu?”
Prof. E hanya tersenyum. Namun jelas di wajahnya akan tanda kekecewaan.
“Satu hari aku tunggu. Hari sebelumnya, semasa orang ramai sibuk mahu menyambut kedatangan alaf baru, aku sibuk berkurung dalam loteng ini berkemas, menanti tetamu yang tidak akan pernah muncul...”
Johan dapat merasakan kesedihan Prof. Erman.
“Seminggu aku tunggu, dengan harapan mungkin ada masalah dalam pengiraan. Tapi, selepas seminggu, aku sedar. Aku mungkin tidak akan mampu mencipta mesin masa, atau paling kurang memahami mekanisma merentas masa.. Aku kecewa...”
‘...Sehinggalah pada waktu kau muncul tempoh hari. Aku seolah-olah tak percaya. Tapi, pandang dari sudut mana sekalipun, kau memang datang dari masa depan. Cuma, ianya bukan atas kemahuan kau. Dari situ aku tahu, sekurang-kurangnya, aku akan paling kurang selangkah maju dalam kajian aku. Harapan dari masa depan kembali menyinar.”
Johan tersenyum.
“Namun, satu persoalan timbul. Kenapa kau? Kenapa bukan aku? Kenapa bukan orang lain? Kenapa bukan saintis lain yang turut obses dalam kajian merentas masa? Kenapa engkau, seorang yang tidak terniat langsung untuk merentas masa?”
“Kenapa?” Johan bertanya.
Prof. Erman sempat menghirup kopi panasnya sebelum menjawab.
“Aku ada teori tentang itu, tapi semuanya hanya akan terjawab pada malam selasa ini. Sama ada berjaya atau tidak, semuanya bukan lagi bergantung kepada aku. Semuanya bergantung kepada satu kuasa yang lebih besar...”
Mendengar kata-kata Prof. Erman itu tadi, Johan tersenyum.

“Baiklah Prof...” Johan bangun dari kerusi tempat duduknya.
“Saya mahu masuk tidur dulu. Saya tidak mahu mengganggu Prof malam-malam buta macam ni...”
Johan bergerak ke pintu. Namun, ketika dia mahu memulas tombol pintu, dia terdetik untuk bertanyakan satu soalan kepada Prof. Erman.
“Prof...”
Prof. Erman mengangkat muka memandang Johan di muka pintu.
“Esok 20 haribulan. Prof tahu tak apa-apa yang bakal berlaku pada 20 haribulan Mac tahun ni?”
Beberapa saat Prof. Erman cuba mencari jawapan dari ingatannya.
“Seperti apa?” tanya Prof. Erman.
“Entahlah. Sesuatu yang mampu mengubah hidup seseorang.”
“Aku rasa tak ada. Kenapa?”
Johan menghela nafas panjang tanda kecewa.
“Tak. Saya rasa seingat saya, akan berlaku sesuatu pada tarikh ni, tapi saya tak mampu nak ingat apa yang akan terjadi...”
“Mungkin ianya lebih bersifat peribadi.”
“Mungkin...”

20 Mac 2004. Jam 0413.
Persekitaran perumahan sunyi. Selang-seli, kedengaran salakan anjing sayup jauh. Tiada kelibat manusia yang kelihatan, paling tidak, pada waktu itu.
Intan sedang nyenyak tidur di biliknya. Begitu juga dengan ibunya, sedang lena diulit mimpi di bilik utama. Namun, ibu Intan tidur seorang diri disebabkan ayah Intan, Encik Ahmad, terpaksa bekerja di luar kawasan.

Hening pagi yang masih sunyi, diisi dengan titisan embun di hujung daun rumput. Namun, keheningan itu telah dicemari dengan deruan enjin, perlahan dari sebuah van yang tidak menghidupkan lampu. Van putih itu meluncur senyap dan berhenti betul-betul di hadapan laman rumah Intan.
Tiga orang lelaki itu, berpakaian gelap, berjaket tebal dan juga bertopeng penuh, keluar perlahan-lahan dari pintu van yang dibuka. Mereka juga turut membawa beberapa batang besi di tangan. Salah seorang dari mereka membawa batang besi panjang yang digunakan untuk mengumpil. Mereka bertiga menuju ke pintu masuk rumah Intan tanpa sesiapa sedar.




BERSAMBUNG...[21]

Feb 1, 2013

Vorteks #19 - Malam Masa Sebelumnya.

0 nota kaki

[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18]




Ketika menjadi tetamu dalam satu rancangan temubual televisyen, Hani ditanyakan satu soalan oleh hos rancangan.
“Baru-baru ini industri digemparkan dengan berita Hani menolak satu tawaran berlakon sebagai watak pembantu dalam satu filem terbitan seorang penerbit dari Hollywood. Berita itu menggemparkan bukan sahaja industri tempatan, malah seluruh dunia hiburan antarabangsa,” ulas hos rancangan.
Hani hanya mengangguk sambil tersenyum.
“Peluang ditawarkan berlakon di arena antarabangsa bukannya mudah dapat. Malah dikatakan penerbit berkenaan sendiri yang berhubung dengan Hani. Kenapa Hani menolak peluang keemasan itu?”
Sambil membetulkan tempat duduknya, Hani menjawab ringkas, “Prinsip.”
“Prinsip bagaimana?”
“Saya mula bergiat dalam industri dengan satu syarat, tidak akan langgar prinsip peribadi tidak kira apa juga keadaan. Prinsip peribadi saya itu ialah tidak akan terlibat dengan mana-mana acara yang mampu mencetuskan kontroversi dari segi pendirian agama dan kehormatan diri.”
Hos mengangguk faham.
“Senang cerita, tawaran emas itu memerlukan saya melanggar prinsip saya, dan saya tiada jalan lain kecuali menolaknya.”
“Saya difahamkan tawaran itu memerlukan Hani melakukan satu adegan ranjang. Betul?”
Hani senyum.
“Saya rasa, saya tidak akan mengulas hal itu kerana pokok pangkalnya, saya sudahpun menolak tawaran tersebut.”
Hos mengangguk faham sekali lagi, sebelum bersedia untuk mengutarakan soalan seterusnya.
“Di sebalik wajah cantik dan berbudi bahasa, Hani menjadi seorang yang kuat dengan prinsip. Adakah pernah berlaku sesuatu yang menjadikan Hani seperti Hani sekarang?”
Hani menunduk memikirkan sesuatu. Dia seperti sedang menyusun kata-kata di dalam fikirannya. Kemudian, dia mengangkat kepala dan melihat tepat kepada kamera.
“20 haribulan Mac, tahun 2004...”

19 Mac 2004, jam 2304.
“Bestnya awak, ada tutor sendiri.” Suara Aida di hujung talian telefon kedengaran teruja.
“Best Aida. Seronok. Dia ajar memang cepat faham.”
Intan berguling dari posisi menelentang kepada meniarap di atas katil sambil telefon bimbit masih lekat dipegang ke telinga. Selalu juga rutin berbual panjang dalam telefon bersama dengan Aida dilakukannya. Tambahan pula kalau ada sesuatu yang seronok untuk dibincangkan. Kali ini, topiknya adalah ‘anak saudara jiran sebagai tutor mengajar matematik dan sains’.
“Dia handsome tak?” soalan cepumas dari Aida.
“Hmm...” Intan memandang lama ke siling bilik.
“Handsome tu kita tak boleh nak kata sebab itu pandangan individu, tapi muka dia memang buat hati rasa redup,” jawab Intan sambil diakhiri ketawa kecil.
“Wah, maca ada orang sudah jatuh hati nampaknya!”
“Hey, mana adalah...”
Sakat si Aida membuatkan Intan tersenyum lebar. Dia tak rasa dia jatuh hati, mungkin dia tak pernah rasa bagaimana perasaan ‘jatuh hati’ sebelum ini, tapi kata-kata Aida tadi memang menggembirakan hati dia, sedikit.
“Tapi dia tak lamalah, Aida. Dia balik rumah dia minggu depan. Hari isnin hari terakhir dia.”
“Oh, dia pelajar universiti, kan? Nanti awak mintalah alamat dan nombor telefon. Bolehlah selalu contact.”
“Saya takutlah. Saya takut nanti dia kata dia anggap saya macam adik je...”
“Macam apa yang terjadi antara awak dengan Cikgu Hanif dulu?”
Intan terdiam. Kata-kata Aida itu membuatkan dia terkenang memori tahun lepas.

Tahun lepas terdapat seorang guru praktikal datang mengajar di sekolah tempat Intan dan Aida belajar. Tinggi, tampan dan bergaya. Guru praktikal itu dikenali sebagai Cikgu Hanif sangat digemari para pelajar, terutamanya pelajar perempuan. Intan tidak kecuali.
Kebetulan, Cikgu Hanif ditugaskan menggantikan guru kelas Intan yang sedang cuti bersalin. Dari situ, hubungan Cikgu Hanif dan Intan semakin rapat. Setiap kali ada masalah, Intan akan menjadikan Cikgu Hanif sebagai tempat mengadu. Cikgu Hanif juga sentiasa setia mendengar.
Dek kerana perasaan yang semakin berputik, Intan tekad mahu meluahkan perasaannya kepada Cikgu Hanif. Mungkin kerana terlalu terbawa-bawa dengan perasaan remaja yang meningkat dewasa, Intan menulis sepucuk surat berisi luahan perasaan dan meletakkannya di atas meja Cikgu Hanif di bilik guru.
Sehari selepas itu, Cikgu Hanif memanggil Intan ke bilik guru. Intan, dengan muka berseri-seri, berjalan cepat ke bilik guru untuk bertemu dengan cikgu teristimewa buatnya itu. Tapi, apa yang menantinya hanyalah kata-kata yang membuat luka.
“Cikgu hanya menganggap awak sebagai murid. Hubungan kita hanya sebagai guru dan pelajar.”
 Jelas perubahan di muka Intan selepas mendengar kata-kata Cikgu Hanif itu. Tak cukup dengan itu, perbualan mereka berdua didengari oleh dua-tiga guru yang duduk berdekatan dengan meja Cikgu Hanif. Guru-guru berkenaan ketawa dengan kuat, memperlekehkan perasaan yang ada pada Intan terhadap Cikgu Hanif. Lebih melukakan, Cikgu Hanif yang mendengar kata-kata perlekeh teman sekerjanya itu juga tersenyum senget, menganggap semuanya jenaka.
Walaupun tiada airmata yang menitis di depan Cikgu Hanif, tapi Intan sangat kecewa. Cukuplah perasaannya ditolak. Ditambah pula lagi dengan gelak tawa guru-guru lain, dan juga senyuman senget Cikgu Hanif yang langsung tidak mempertahankannya, Intan sedih. Dia berlari ke belakang kantin sekolah dan melepaskan airmata yang ditahannya. Kebetulan, Aida ternampak Intan berlari ke belakang kantin sekolah dan mengejarnya. Aida menenangkan Intan dan Intan meluahkan segalanya.
Dari situ, Intan dan Aida menjadi kawan baik.

“Maaflah kalau terungkit perkara lepas...”
Dek kerana Intan yang terdiam terlalu lama di hujung talian, Aida risau akan kata-katanya  tadi yang mungkin melukakan hati Intan.
“Taklah, Aida. Saya dah lupakan cikgu tu.”
“Jadi...” Aida cuba mengubah topik perbualan.
“...esok awak akan jumpa Encik Yusran idaman hati awak tu lagi?”
Intan ketawa besar. Idaman hati?
“InsyaAllah...”

Sementara, di rumah Prof. Erman, ketika semua ruang bergelap kerana sudah waktu malam, satu bilik di tingkat atas di hujung koridor menampakkan cahaya. Johan sedang duduk di pinggir katil melihat kalendar meja ditangannya sambil berkerut cuba mengingat sesuatu.
“Hari ni 19 haribulan. Esok 20 haribulan...” Johan bermonolog seorang diri.
“Aku rasa 20 haribulan Mac ada berlaku sesuatu yang besar, tapi aku tak lupa. Apa agaknya, ya?”




BERSAMBUNG...[20]

Dec 21, 2012

Vorteks #18 - Masa Berdua.

1 nota kaki


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17]




Untuk kedua kalinya, perasaan ingin tahu menakluk minda Intan.
“Ini simbol apa?” Intan menggunakan jarinya menunjuk sesuatu di atas kertas.
 “Itu dipanggil imaginary unit, i,” jawab Johan.
“Imaginary unit?”
“i ialah punca kuasa dua negatif satu. i kuasa dua sama dengan negatif satu.”
“Aik? Kenapa macam tu?”
“Imaginary number adalah nombor di mana kuasa duanya adalah kurang dari kosong.”
“Tapi, bukan ke semua nombor bila dikuasa-duakan akan jadi nombor positif?”
“Betul. Tapi dalam beberapa kes soalan rumit, penggunaan nombor negatif sebagai hasil kuasa dua adalah perlu. i tadi merupakan unit dia. Sebagai contoh, -9 adalah hasil kuasa dua daripada 3i, di mana tiga kuasa dua ialah sembilan dan i kuasa dua ialah -1. Jadi, (3i) kuasa dua ialah -9.”
Intan menggarukan kepalanya. Serabut. Terlalu rumit baginya.

Mereka berdua berada di rumah Prof. E, di meja ruang makan. Johan sedang menunaikan janjinya dengan mengajar Intan subjek matematik. Bagi Intan, matematik memang susah.
Walau bagaimanapun, Intan tetap rasa bersyukur dan seronok dapat diajar oleh Johan. Jika nak diharapkan cikgu matematiknya di sekolah, apa yang cikgu itu kejarkan hanyalah mahu menghabiskan sukatan pengajaran yang ditetapkan sekolah. Sama ada murid faham atau tidak, meraka tidak peduli. Tapi, bila keputusan peperiksaan matematik menunjukkan gred rendah, habis satu kelas dimarahi. Habis tiga waktu pembelajaran dipenuhi dengan syarahan dan bebelan.

Melihat gelagat Intan yang kebingungan, Johan tersenyum. Dia perlu buat sesuatu untuk menarik minat dan motivasi Intan semula.
“Sebut pasal imaginary, ada seorang kawan kat universiti selalu gelakkan saya dengan berkata saya ada imaginary girlfriend.” Perkataan ‘girlfriend’ menarik minat Intan. Pandangan Intan terus ke arah Johan yang sedang bercerita.
“Saya ada sukakan seorang artis ni. Pada mata orang lain, dia hanyalah artis biasa yang bernasib baik mendapat populariti dan sedang dalam zaman kemuncaknya. Tapi pada saya, dia lain...”
Johan memandang kosong ke arah kertas di depannya, sedangkan fikirannya mengelamun mengenangkan imaginary girlfriendnya. Intan masih tepat menatap Johan.
“Sebab saya buat keputusan ingin menjadi doktor perubatan datang dari datuk saya. Kami rapat sejak saya kecil lagi. Dia meninggal di masa saya tiada di sisi. Dia selalu berharap saya dapat jadi doktor, menolong orang tanpa ada sebarang rungutan.”
Johan senyum seketika.
“Tapi, menjadi pelajar perubatan bukannya senang. Tekanan sana sini. Penat sana sini. Saya hampir putus asa.”
Mimik muka Intan berubah.
“Suatu hari, saya menonton satu rancangan bual bicara bersama artis di TV. Tetamunya seorang artis perempuan ni. Dalam temubualnya, dia kedengaran begitu yakin dengan satu prinsipnya.”
“Apa prinsipnya?” Intan mencelah.
“Manusia perlu terus ke depan. Masa silam dijadikan pedoman supaya kita pada masa kini tidak mengulangi kesilapan. Hasilnya, masa depan kita akan lebih terjamin. Itulah sebiji-sebiji kata-kata yang dia pegang sebagai prinsip.” Johan menukar pandangan matanya ke atas syiling rumah.
Intan bermuka kagum. Dia mendengar satu persatu apa yang Johan perkatakan.
“Apa yang menarik perhatian ialah, semasa artis itu ucapkan kata-kata itu, dia kelihatan begitu percayakannya. Dari sinar mata dia, dia yakin tiada yang cela dalam kata-katanya. Matanya bersinar.” Johan mengalih pandangan tepat ke arah mata Intan. “Ya, itulah mata yang aku perkatakan,” kata Johan dalam hati.
“Sejak dari itu, walau betapa susahnya hidup, susahnya pembelajaran, saya tak akan merungut kerana ini adalah jalan yang saya pilih. Apa yang saya boleh buat adalah maju ke depan. Dan dengan maju ke depan, saya maksudkan adalah maju ke depan dengan bersungguh-sungguh...”
Intan hilang senyuman.
“...dan sejak dari itu, saya manjadi peminat setia artis tersebut, sampaikan kawan mengejek saya berangan nak bertemankan artis, imaginary girlfriend.”
Intan menunduk.

“Tak sangka seorang artis boleh memberi kata-kata rangsangan yang cukup berkesan kepada peminat.”
Johan mengangkat keningnya, tidak tersangka perkataan itu muncul dari mulut ‘bakal artis’.
“Ayah selalu labelkan artis sebagai insan yang hanya tahu mencari populariti. Ayah kata, kalau nak berjaya dalam hidup dan menjadi seorang yang dikagumi, jangan jadi artis. Artis hanyalah kelompok orang yang hanya tahu berhibur.”
Johan terkejut dengan kenyataan itu.
Lain. Intan di depan matanya ini, personalitinya sangat berbeza dari yang dia kenali lapan tahun akan datang. Johan tak sangka, lapan tahun mampu mengubah manusia sebegitu sekali.
“Yusran?”
Fikiran Johan kembali ke jasad.
“Boleh Intan tahu siapa nama arits tu? Nak jugalah jadikan dia sebagai artis kegemaran.”
Alamak.
Johan terkaku seketika. Di otaknya, dia cuba mencari cara untuk mengelak soalan itu.
“Intan? Siapa artis kegemaran Intan?” Percubaan Johan mengelak menjawab soalan.
“Intan tak ada. Tiada satu pun yang betul-betul Intan minat.”
“Intan minat yang macam mana?” Percubaan Johan semakin menjadi.
“Hm...Intan lebih suka yang versatil. Boleh berlakon, menyanyi, jadi model, dan dalam masa yang sama, berakhlak baik.”
Johan tersenyum. Semua yang disebut Intan itu ada padanya lapan tahun kemudian.
“Ibu Intan juga seorang model masa zaman mudanya. Pernah dia tunjuk video rakamannya semasa menjadi model. Intan suka. Ibu sangat cantik. Intan nak jadi macam ibu.”
Suasana ruang meja makan terdiam seketika. Johan sedar, Intan seperti mahu bercakap tentang sesuatu.

“Sebenarnya...” Intan membuka bicara.
“...abang kepada seorang kawan Intan ada offer Intan nak jadi model untuk satu majalah fesyen remaja terkenal ni...”
“Remaja Kini?” Johan spontan. Intan membeliakkan matanya, terkejut.
“Macam mana Yusran tahu?”
Johan silap langkah lagi. Dia terlalu spontan. Mungkin sebab terlalu teruja.
“Teka. Remaja Kini kan majalah fesyen remaja terkenal sekarang.” Penjelasan Johan membuatkan Intan mengangguk. Padahal, hampir semua sejarah hidup Intan yang disebut di dalam majalah-majalah dan rancangan TV sudahpun di’khatam’nya. Fakta seperti Intan bermula dari majalah Remaja Kini terlalu mudah untuk Johan.
“Betul. Remaja Kini. Tapi, Intan rasa nak tolak laa offer tu...”
“Kenapa?”
“Ayah tentu tak benarkan. 100% pasti.”
Dalam fikiran Johan, kalau dia ubah fikiran dengan menolah offer itu, sejarah mungkin berubah.



BERSAMBUNG...[19]

Dec 14, 2012

Vorteks #17 - Seketika, Masa Bersama.

0 nota kaki

[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16]




Kaki Intan melangkah dengan laju. Wajahnya indah diukiri senyuman. Dia ingin seberapa segera pulang ke rumah. Dari pagi berada di sekolah, fikiran Intan tak dapat fokus. Dia begitu ingin balik dengan segera. Bukan sebab apa, hanya kerana satu janji. Janji untuk belajar mata pelajaran matematik dan sains di rumah Prof. Erman, diajar oleh Johan.
Intan sendiri tidak sedar bahawa diri dia terlebih uja. Mungkin kerana hari sudah jumaat. Semangat berhujung minggu mengujakan diri. Mungkin juga kerana berteman baru. Persahabatan yang baru tercipta antara dia dengan Johan membuatkan diri Intan begitu mahu lebih mengenali. Mungkin hanya sekadar hormon rembesan badan di usia remaja. Kemahuan untuk bersama dengan pasangan berlain jantina.
Tidak kira mana, Intan tidak peduli. Apa dalam benak fikirannya hanyalah mahu balik ke rumah dengan segera, mandi dan salin pakaian, dan terus ke rumah sebelah, rumah Prof. E untuk menelaah bersama Johan.

19 Mac 2004. Jam 1315
“Assalamualaikum...” Intan jerit sejurus menjejak kaki ke dalam rumah.
Kedengaran suara ibu Intan menjawab salam, sayup di belakang dapur.
Tanpa berlengah, Intan terus ke tingkat atas, ke biliknya. Begnya diletakkan di atas katil, dicapai tuala, dan terus masuk ke dalam bilik mandi. Beberapa minit kemudian dia keluar dengan badan berbau segar, dikenakan t-shirt merah jambu kegemarannya berserta seluar jean paling selesa, dan dikeluarkannya beberapa buku dari beg sekolahnya dan satu bekas pensel berserta kalkulator.
Pintu bilik Intan diketuk.
“Intan?” Ibu Intan membuka pintu meninjau perihal anaknya.
“Ya, Ibu.”
“Intan siap-siap ni nak ke rumah Prof. E ke?”
“Ha’ah, ibu. Orang macam dah lambat ni.”
“Dekat bawah tu, ibu dah sediakan sedikit bekal makanan dalam mangkuk tingkat. Nanti kasi jamah makanan tu, ya?”
Intan berhenti berkemas-kemas. Dia bergerak ke arah ibunya, lalu memeluk erat ibunya.
“Ibu memang terbaik.” Ibu Intan tersenyum.

19 Mac 2004. Jam 1325
Belum sempat jari Intan mahu menekan loceng rumah Prof. Erman, pintu sudah terbuka. Kelihatan dua lelaki; Prof. Erman dan Johan, dengan masing-masing bersongkok dan berkopiah, dengan mata terbeliak, terkejut melihat keberadaan Intan di depan mereka.
“Hani..Eh, Intan! Awalnya?” Johan tersasul.
Intan menepuk dahinya ke kepala.
“Intan lupa. Intan lupa hari jumaat lelaki pergi solat jumaat.”
Prof. E tersenyum.
“Tak apalah , Intan. Kamu masuk je ke dalam. Kami pergi pun tak lama, setengah jam baliklah.” Prof. E cuba tidak mengecewakan Intan. Johan tersenyum.
“Baiklah, Prof. Terima kasih.”

Intan dibiarkan bersendirian di dalam rumah Prof. E. Dia tak pernah duduk berseorangan di dalam rumah orang lain. Lagi memelikkan, rumah itu adalah milik Prof. E, seseorang yang dilabel jiran sekeliling taman sebagai perengus dan tidak bercampur sesama tetangga. Well, jangan nilai sebuah buku dari kulit luaran sahaja. Pandangan Intan terhadap Prof. E terus berubah apabila melihat susun atur rumah yang kemas, tersusun dan wangi, dihiasi dengan hiasan dinding yang menarik perhatian si pemerhati. Pada Intan, seorang perengus dan anti-sosial tidak memiliki sifat seperti ini.
Apa yang tidak diketahui Intan ialah, segala susunatur dan hiasan di rumah itu tidak pernah berubah sejak lapan tahun lalu, sejak peristiwa Prof. E ditinggalkan keluarganya dek kerana obsesi terhadap kajiannya.

Beberapa puluh minit kemudian, kedengaran salam diberikan di muka pintu. Prof. E dan Johan sudah pulang dari solat jumaat di masjid.
“Bau apa ni?” Hidung Johan kuat terbau sesuatu di udara. Bau makanan.
Prof. E dan Johan tersenyum sesama sendiri. Mereka bergerak menuju terus ke meje makan di dapur. Kelihatan Intan, dengan memakai apron, sedang memanaskan sesuatu di atas kuali di dapur.
“Intan? Kamu buat apa?” Prof. E bertanya dengan senyuman.
“Memandangkan tadi ibu dah kirimkan makanan, Intan panaskan dan hidangkan untuk Prof dna Yus makan,” jawab Intan.
Prof. E dan Johan berpandangan sesama sendiri. Tersenyum.
“Langkah kananlah kita, Johan,” Prof. E berseloroh.
“Johan? Kenapa Johan?” Intan bertanya.
Prof. E dan Johan terdiam. Dek kerana teruja, Prof. E dan Johan terlupa tentang individu bernama Yusran. Seorang ‘watak lakonan’.
“Johan? Siapa Johan? Siapa kata Johan? Yusranlah, Yusran.” Prof. E cuba menutup khilaf.
“Tapi tadi macam dengar nama Johanlah.” Intan meragui sambil tangan meletakkan lauk di atas meja makan.
Johan dan Prof. E hanya mendiamkan diri, tidak memberi sebarang reaksi.
“Tak apalah, Prof dan Yus boleh naik dulu tukar pakaian. Lepas tu terus turun kita makan sama-sama, OK?”
“OK!” Prof. E dan Johan jawab serentak.
Semasa naik tangga bersama untuk ke bilik di tingkat atas, Johan menyiku ringan Prof. E.
“Nasib baik dia tak syak apa-apa,” kata Johan.
“Nasib baik dia yang tukar topik,” balas Prof.
“Lain kali kita kena lebih berhati-hati.”
Kedua-dua mereka menarik nafas lega.

19 Mac 2004. Jam 1412
Prof. Erman, Johan dan Intan masing-masing tersenyum melihat makanan di atas meja makan.
“Marilah kita makan,” Prof. E memecah suasana.
“Bismillahirrahmannirrahim...” Johan mula membacakan doa.
Intan tersenyum menadah tangan. Prof. E tersentak dari terus menjamah makanannya dan juga menadah tangan.
“Nanti, ucapkan terima kasih kat ibu sebab sediakan makanan yang sedap ni ya, Intan,” ucap Prof. E kepada Intan. Intan mengangguk.
“Sedap!” Johan teruja.
“Masakan ibu memang sedap. Ibu memang nombor satu.” Intan mengangkat ibunya.

Seketika, suasana bersama Johan dan Intan membuatkan Prof. E tersentuh hati. Suasana makan makanan yang dimasak seorang ibu, dan duduk beramai-ramai di meja makan sambil menggamit kenangan dia bersama keluarganya satu ketika dahulu. Suasana berbual mesra, bertanya khabar hari dan bergurau senda di meja makan amat dirinduinya. Kini, dia sedang laluinya bersama dua orang yang tiada kaitan darah langsung dengannya.
Seketika, Prof. E merindukan keluarganya. Isteri dan anaknya.



BERSAMBUNG...[18]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...