Oct 19, 2012

Vorteks #13 Masa Menemukan Dua Manusia.

0 nota kaki

[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12]




“Ayah saya mesti tak bagilah, Aida.”
“Alaa, awak cubalah pujuk dia dulu. Rugi kalau awak tak terima tawaran ni.”
Intan pening kepala. Aida menyampaikan pelawaan kepada Intan untuk menjadi model fesyen untuk sebuah majalah untuk remaja. Semuanya atas permintaan abang kepada Aida yang pernah ditemuinya semasa singgah belajar di rumah Aida seminggu lepas. Abang kepada Aida merupakan salah seorang editor majalah berkenaan.
“Abang saya kata, awak ada pakej nak jadi model. Susuk badan awak tak seperti budak sekolah 16 tahun. Lagipun, muka awak sangat sesuai jadi model.”
Pujian melambung Aida sedikitpun tidak dihiraukan Intan. Ini kerana Intan memang sudah memasang angan-angan dari kecil untuk menceburi bidang peragaan dan industri hiburan. Tapi apa yang merisaukannya adalah bapanya.
“Awak macam tak tahu ayah saya macam mana. Dia gila bisnes. Dia siap suruh saya belajar perniagaan lagi bila habis sekolah nanti. Kata dia, nak saya warisi empayar perniagaannya.”
“Ala, adik lelaki awak kan ada? Biarlah dia yang warisi kerja ayah awak.”
“Adik saya baru umur dua tahunlah.”
“Tapi, peluang ni bukan selalu dapat. Saya siap dengki dengan awak sebab abang offer dekat awak, bukan saya. Tapi dalam masa yang sama, saya bangga sebab kawan baik saya bakal jadi model, seperti apa yang awak idamkan, kan?”
Intan terdiam seketika. Ada betulnya kata-kata Aida itu. Peluang sebegini bukan selalu dapat, malah dengan usia muda, 16 tahun, Intan mungkin boleh pergi jauh dalam industri.

Angan-angan Intan untuk menjadi model dan selebriti bermula sejak kecil lagi. Ibu Intan seorang model pakaian yang sering mewarnai majalah fesyen suatu ketika dahulu. Pada usia Intan empat tahun, ibunya pernah menunjukkan rakaman video mengenai satu acara peragaan fesyen yang disertainya sebagai model. Ibu Intan juga ada menceritakan bahawa dia dan ayahnya mula bertemu semasa menghadiri satu acara korporat mengenai fesyen. Dari situ, Intan mula pasang angan-angan mengikut jejak langkah ibunya sekaligus mahu menjerumuskan diri dalam industri hiburan tanahair.

“Beginilah. Walaupun abang saya suruh desak awak supaya terima tawaran dia secepat mungkin, tapi saya akan bagi awak tempoh sampai seminggu. Cuba fikirkan baik-baik peluang ini dan cuba pujuk ayah awak. Saya rasa, awak masih boleh berada dalam kedua-dua bidang perniagaan dan model, kan? Awak antara pelajar cemerlang kelas kita.”
Aida terus memujuk kawan baiknya itu. Namun, ini membuatkan Intan semakin berasa serba salah. Dia sangat kenal perangai ayahnya, dan sudah mengagak apa jawapan yang bakal keluar dari mulut ayahnya.
“Baiklah. Nanti saya dapat jawapan, saya terus bagitahu awak ya, Aida.”
------

Di rumah, sewaktu di meja makan, Intan memberanikan diri.
“Ibu, ayah mana?”
“Ayah kamu ada function dengan pelanggan,” jawab ibu Intan.
“Malam ni kita makan bertiga sahaja.” Ibu Intan meletakkan adik Intan yang berusia dua tahun di bangku tinggi bayi sebelah kirinya.
Intan meneliti lauk yang dimasak ibunya.
“Hm, sedapnya lauk ibu masak hari ni!”
Ibu Intan merenung anaknya.
“Apa yang kamu nak, Intan? Kamu tak pernah puji masakan ibu kalau kamu tidak mahukan apa-apa.” Masak dengan perangai anaknya, ibu Intan tahu Intan ingin membuat suatu permintaan. Intan bagaimanapun tidak terkejut dengan kata-kata ibunya kerana dia sudah menyangka semuanya.
“Ibu kenal Aida, kan? Abang Aida kerja di majalah Remaja Kini. “
Ibu Intan mengangguk, sambil menyuapkan makanan ke mulut adik Intan, dia menanti kata-kata seterusnya dari mulut Intan.
“Abang Aida tawarkan orang peluang nak jadi model fesyen untuk majalahnya. Katanya, orang ada potensi. Mungkin turun dari ibu rasanya.”
Membahasakan diri sebagai ‘orang’ dengan ibu dan ayahnya, taktik Intan adalah mendapatkan sokongan dari ibunya sebelum bersemuka dengan ayah. Mungkin dengan cara ini, ayahnya akan memberi peluang kepadanya menukarkan angan-angannya menjadi cita-cita.
Ibu Intan kelihatan agak terkejut.
“Kamu tahu kalau kamu cakap perkara ni kepada ayah kamu, dia akan terus tidak bersetuju, bukan?”
“Ya, orang tahu. Tapi ini peluang sekali seumur hidup. Orang memang dari kecil lagi berangan nak jadi macam ibu dulu-dulu.”
“Dulu-dulu,” ibu Intan mencelah.
“Kamu tahu kenapa kamu guna perkataan ‘dulu-dulu’, kan?”
Intan terdiam.
“Ayah kamu tidak mahu ibu teruskan kerjaya ibu sebagai model selepas kamii berkahwin.”
Ibu Intan menyuap makanan ke mulut adik Intan sebelum menyambung kata-kata.
“Ibu bukan tak mahu bagi, malah ibu rasa bangga bila anak ibu dapat peluang sedemikian. Tapi keputusan bukan di tangan ibu. Ianya di tangan ayah kamu. Ibu tak boleh nak kata apa-apa.”
Sedikit kecewa, Intan cuba terus memujuk.
“Nanti orang tanya ayah. Tapi ibu sokonglah orang, ya?”
Ibu Intan tidak menjawab apa-apa. Dia terus melayan adik Intan makan. Intan berasa kecewa. Makan malam diteruskan tanpa sebarang kata-kata.
------
Kriiiiiiiiinnnggg!
Bunyi loceng menandakan waktu persekolahan sesi pagi tamat. Seketika, kelihatan berpusu-pusu pelajar sekolah menengah keluar dari kelas masing-masing untuk pulang ke rumah. Salah seorang daripadanya adalah Intan yang kelihatan tidak bermaya.
“Intan, tunggu saya sekejap!” Aida memanggil dari belakang.
Selepas berlari-lari anak, Aida dapat mengejar Intan sebelum menuruni tangga dari tingkat tiga.
“Macam mana? Dah cakap dengan ayah awak?” tanya Aida.
Dengan mencebik mulut, Intan memandang Aida dan menggelengkan kepala.
“Belum? Atau dia tak bagi?”
“Saya belum tanya.”
“Tak apalah. Nanti awak dah tanya, bagitahu saya, ya? Abang saya dah bising dah dekat rumah tu.”
Aida mengucap selamat dan berlalu pergi. Perjalanan pulang Aida dan Intan berbeza, menyebabkan Intan terpaksa balik sekolah jalan kaki berseorangan. Namun, jarak sekolah dengan rumah tidak jauh. Hanya kurang lebih dua kilometer jalan kaki.

Fikiran Intan jauh mengelamun semasa berjalan kaki pulang ke rumah. Banyak yang dia fikirkan; dari reaksi ayahnya sehinggalah kesan hubungan baiknya dengan Aida jika dia menolak.

“Hani?” Terdengar seseorang memanggil Intan dari belakang.
Intan berpaling dan ternampak seorang lelaki memandangnya.
“Saya bukan Hani,” Intan menjawab.
“Tapi muka awak macam Hani.”
“Maafkan saya. Tapi, saya diajar supaya tidak bertegur dengan orang yang tidak dikenali.”
Intan pun pergi meninggalkan lelaki yang terhenti langkah itu.
Beberapa kali Intan berpaling ke arah lelaki yang berdiri penuh kehairanan itu. Sambil melihat, Intan menuruni bahu jalan dan mahu melintasi jalan ke seberang. Dia tidak sedar ada sebuah kereta dipandu laju menuju ke arahnya.

Sekelip mata, terdapat sebuah kereta dipandu laju mendekati sambil membunyikan hon. Sewaktu Intan berpaling untuk melihat sumber bunyi hon itu, ianya sudah terlambat untuk mengelak.
Badan Intan kaku. Sekelip mata, dia merasakan begitu banyak perkara berbeza yang mampu dilakukannya untuk menjadikan hidupnya lebih bermakna. Dia boleh berkeras dengan ayahnya tentang impiannya memasuki industri hiburan. Dia juga boleh membantah keputusan muktamad ayahnya untuk menyambung belajar dalam jurusan perniagaan selepas tamat sekolah nanti. Dia juga boleh menolak impian ayahnya untuk menjadikannya penyambung legasi perniagaan milik ayahnya. Tapi, semua itu tidak berlaku. Dia hanya menurut segala apa yang ayahnya tentukan.

Badan Intan terasa seperti ditolak ke tepi. Intan terjatuh di seberang jalan, terduduk.
Kereta yang lajumenuju ke arah Intan tadi sempat membrek, tapi jarak membrek terlalu dekat mengakibatkan seseorang dilanggar.
Lelaki yang memanggil Intan ‘Hani’ tadi, yang juga sudah menyelamatkan nyawanya dengan menolak Intan ke tepi, dilanggar.
Kejadian ini jelas disaksikan Intan dari tepi jalan.




BERSAMBUNG...[14]

Oct 12, 2012

Vorteks #12 Masa Kritikal

0 nota kaki

[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11]




Nilai kajian seorang saintis bukan bergantung kepada betapa tepat teori yang dicadangkan, tetapi terletak kepada berapa banyak fakta yang mampu menafikan cadangan mereka itu. Sebagai contoh, jika seorang saintis mencadangkan ‘ais itu sejuk’, maka teori itu akan menjadi satu yang diterima pakai sejagat sehinggalah ada seseorang yang berjaya kemukakan fakta yang menafikannya dan mengatakan bahawa ‘ais itu bukan sejuk’. Dengan kata lain, semua teori dalam dunia yang diciptakan manusia ini tidak boleh dibuktikan kesahihannya. Tiada yang sahih.
Dek kerana itu, Prof. E mula meragui tentang teori alam selari dan jalur masa alternatif yang dipercayainya selama ini. Semuanya kerana kata-kata Johan mengenai ‘kuasa besar’ yang mengawal segala yang berlaku. Prof. E sedar, kewujudan Johan sedikit sebanyak membuatkan dia meragui hasil kajian selama 25 tahun. Namun, dek kerana ego seorang yang pintar, dia tidak mahu mengakuinya.

18 Mac 2004, jam 0827.
“Mungkin saya boleh tolong apa-apa yang patut dalam kajian Prof. Boleh?” Johan menawarkan diri membantu Prof. E.
“Maaflah, Johan. Bukan aku tak percaya kemampuan kau. Malah, aku tahu kau berkebolehan memandangkan kau pelajar perubatan. Tapi...”
“Tapi Prof lebih gemar melakukannya berseorangan, kan?” Johan memotong kata-kata Prof. E dan memasukkan apa yang difikirkannya.
Prof. E mengangguk setuju.
“Tak apa, saya faham. Saya cuma rasa saya patut tolong memandangkan saya tak ada buat apa-apa. Tapi kalau itu sebabnya, saya mungkin lagi akan menyusahkan Prof dalam kajian Prof.” Prof. E tersenyum. Sebenarnya, dia tidak mahu menerima pelawaan Johan disebabkan dia perlu kaji semula semuanya dari awal. Kewujudan Johan memang mengganggu fikirannya.
Suasana ruang makan menjadi sunyi seketika.

“Kalau begitu,  boleh tak saya keluar berjalan-jalan di luar?” Johan meminta kebenaran.
“Kenapa?” tanya Prof. E.
“Hari ini merupakan hari kematian datuk saya. Walaupun semalam saya memang sudah jumpa dia, dan saya patut rasa lega, tapi hati saya tetap rasa sedih dengan pemergiannya. Apatah lagi bila peristiwa itu, technically, belum pun berlaku.”
Prof. E merenung wajah Johan.
“Saya cuma nak ambil udara di luar. Jangan risau, saya tak akan pergi berjumpa dengan orang yang saya kenal. Saya memang nak sangat balik ke masa akan datang sesegera mungkin, jadi saya takkan meletakkan risiko lagi ke atas kajian Prof seperti sewaktu saya berjumpa dengan Atuk, semalam.”
“Baiklah. Kau nak pakai kereta ke?”
“Tak perlu. Saya cuma nak jalan-jalan kawasan perumahan ni saja.”
Selepas mengemas pinggan dan cawan yang digunakan semasa sarapan, Johan keluar dari rumah. Walaupun nampak normal, tapi sebenarnya Johan sangat tertekan. Dari sudut pandangannya, walaupun berpeluang kedua untuk bertemu dengan datuknya buat kali terakhir, tapi dia juga perlu menerima berita kematian datuknya itu untuk kedua kalinya.. Dua kali kesedihan, dua kali kesengsaraan. Mungkin keluar berjalan-jalan adalah salah satu cara Johan menghilangkan kesedihan.

Jam 1420.
Prof. E sedang tekun mentafsir data-data yang diperolehinya di bilik kajiannya di loteng. Selepas beberapa kali menggaru kepala, dia melihat waktu di jam tangannya.
“Sudah pukul dua? Johan sudah balik belum?” bisik Prof. E dalam hati.
Walaupun dia yakin Johan tidak akan mendatangkan masalah, tapi hilang selama enam jam atas alasan mahu berjalan-jalan ambil angin agak merunsingkan.
Tiba-tiba Prof. E teringatkan sesuatu.
Selepas dia membelek-belek beberapa fail di atas mejanya, akhirnya dia terjumpa sesuatu. Sekeping kertas tertulis nombor telefon talian tetap.
Setelah menekan beberapa nombor pada telefon di biliknya, Prof. E mendengar deringan di corong telinga gagang telefon.
“Hello?” kedengaran suara di hujung talian. Suara wanita yang teresak-esak.
“Hello. Saya Osman, wakil insuran. Boleh saya bercakap dengan encik Jaafar bin Seman?”
“Hmm..Maafkan saya. Tapi, abah saya baru sahaja meninggal dunia pagi tadi. Kami akan ke kubur selepas ini untuk upacara pengebumian.”
Prof. E terus mematikan telefon.
Dia dapat mengesahkan sesuatu hari ini. Kerisauan dia semalam hilang. Padanya, semuanya kembali normal. Walaupun itu berita kematian, namun adalah berita baik baginya.

Jaafar bin Seman adalah datuk kepada Johan. Nombor yang dipanggil Prof. E tadi adalah nombor telefon rumah Johan dan yang menjawab panggilan tadi ialah ibu Johan. Maknanya, pertemuan Johan dengan datuknya semalam tidak mengganggu gugat perjalanan masa seperti yang dialami Johan semasa dia berusia 15 tahun. Tiada yang berubah, setakat yang diketahui oleh Prof. E.
Selaku saintis, Prof. E perlu tahu segalanya tentang subjek kajiannya, untuk masa ini, ialah Johan. Maka, segala-gala data tentang Johan, sama ada yang berumur 23 tahun ataupun yang berusia 15 tahun, perlu diketahuinya. Data itu termasuklah salasilah keturunan dan segala yang berkaitan tentang hidup Johan, termasuk nombor telefon rumahnya.
Namun, fakta Johan belum pulang selepas enam jam merisaukan Prof. E. Lalu, Prof. E keluar dari bilik dan turun ke pintu hadapan untuk meninjau ke luar.

Johan kelihatan berada beberapa puluh meter dari rumah.
Dia membawa satu plastik berisi dua bungkusan nasi ayam, untuk dirinya dan Prof. E sebagai menu makan tengahari. Kakinya sedang melangkah pulang menuju ke rumah.
Secara tiba-tiba, dari arah belakang, Johan dipotong jalan oleh seorang remaja perempuan berseragam sekolah. Wajah perempuan itu kelihatan asyik, seperti sedang khusyuk memikirkan sesuatu. Sepintas, Johan dapat melihat raut wajah perempuan itu. Lalu, secara tiba-tiba, langkah Johan terhenti.
“Hani?” Terpacut nama itu keluar dari mulut Johan.
Remaja perempuan itu berpaling dan memandang kehairanan.
“Saya bukan Hani,” perempuan itu menjawab.
“Tapi muka awak macam Hani.”
“Maafkan saya. Tapi, saya diajar supaya tidak bertegur dengan orang yang tidak dikenali”
Remaja perempuan itupun pergi meninggalkan Johan yang terhenti langkahnya.
Beberapa kali remaja perempuan itu berpaling ke arah Johan yang berdiri penuh kehairanan. Sambil melihat Johan, remaja itu menuruni bahu jalan dan mahu melintasi jalan ke seberang. Dia tidak sedar ada sebuah kereta laju menuju ke arahnya.

Sekelip mata, terdapat sebuah kereta dipandu laju mendekati sambil membunyikan hon. Sewaktu remaja perempuan itu berpaling, ianya sudah terlambat untuk mengelak.
Melepaskan bungkusan nasi ke tepi, Johan dalam keadaan refleks segera menolak gadis itu ke tepi. Kereta itu sempat membrek, tapi jarak membrek terlalu dekat mengakibatkan Johan gagal mengelak.
Johan dilanggar.
Kejadian ini turut disaksikan Prof. E dari muka pintu rumah.
“Johaaaaaan!”



BERSAMBUNG...[13]

Oct 5, 2012

Vorteks #11 Masa Lalu Seorang Professor.

0 nota kaki

[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10]




Orang ramai mungkin tidak mengetahuinya, tapi kebanyakkan saintis fizik, metafizik dan matematik percaya, jika kita menjelajah dalam satu garisan merentasi alam semesta sejauh mungkin, kita akan bertemu dengan penghujung alam. Seterusnya, jika kita merentasi penghujung alam dan menjelajahinya sejauh mungkin, kita akan bertemu dengan salinan seperti diri kita yang sama, tapi hidup dan tinggal di alam yang lain. Para pakar dan bijak pandai mempercayainya sebagai alam selari (parallel universe) dalam satu jalur masa alternatif (alternative timeline).
Mereka juga percaya bahawa terdapatnya alam selari yang tidak terkira bilangannya di luar sana hasil dari perlakuan kita yang berbeza. Sebagai contoh, jika pagi tadi kita bangun dan bersarapan, maka ada alam lain di mana kita bangun pagi dan TIDAK bersarapan. Alam selari ini tidak terkira bilangannya dan wujud dengan setiap kemungkinan yang ada.

Paling tidak, itu yang dipercayai Prof. E. Dia sudah mengkaji kemungkinan wujudnya alam selari sejak dari muda lagi. Walaupun tiada bukti kukuh yang menyokongnya, tapi kemungkinan logik yang digunakan akal dan maklumat dari tokoh-tokoh fizik dan metafizik yang terdahulu sebelumnya membuatkan dia percaya seratus peratus fakta tersebut. Dia betul-betul percaya itulah kebenarannya, namun dek kerana hayat manusia terlalu pendek untuk mempelajarinya, kebenaran masih belum dapat dipastikan.

Lain pula dengan Johan. Padanya, semua yang berlaku bukanlah kebetulan. Padanya, semua yang berlaku di dunia kita ini sudah tertulis dan digelar takdir. Ada wujudnya satu Maha Kuasa yang besar sedang memerhatikan perjalanan takdir tersebut. Tiada alam selari, tiada jalur masa alternatif. Johan sedar dia bukanlah seorang yang kuat agama, tetapi dia tidak pernah meragui kewujudan Tuhan walaupun dia juga seorang ahli sains dan sedang belajar dalam bidang perubatan. Padanya, sains adalah penjelasan kepada sekelumit kuasa Tuhan, sedangkan masih banyak lagi perkara yang tidak mampu difikirkan manusia biasa.

18 Mac 2004, jam 0800.
Prof. E menuruni tangga dari biliknya untuk bersarapan di dapur sebelum ternampak Johan yang sedang membancuh kopi di atas meja makan. Pertelingkahan semalam membuatkan tiada siapa antara mereka bertegur sapa semalaman. Mereka bertentang mata, namun tiada kata-kata.
Namun, Johan sedar, sesuatu perlu dilakukannya.
“Saya ada buatkan roti bakar. Mari kita sarapan sama-sama.” Johan menginisiatifkan perbualan dengan mempelawa. Prof. E memberhentikan langkahnya seketika, lalu terus menuju ke meja makan tanpa kata-kata.
Mereka berdua duduk berdua bersarapan. Janggal. Masing-masing terlalu fokus dengan makanan sendiri, mungkin sebagai penghilang rasa janggal yang menyelubungi.
Prof. E meletakkan cawan kopi yang dihirupnya ke atas piring.

“Norman.” Muncul satu nama dari mulut Prof. E.
Johan memandang Prof. E dengan penuh tanda tanya.
“Nama dia Norman. Nama anak lelaki aku Norman.”
Johan terkejut dengan keterbukaan Prof. E.
“Aku, memang sejak dari muda lagi, sudah memulakan kajian tentang teori jujukan masa dan ruang ni. Sudah hampir 25 tahun rasanya. Dan macam manusia lain, aku juga berkeluarga. Mengahwini seorang isteri yang cantik, dan dikurniakan seorang anak lelaki yang sihat dan pandai.” Prof. E bercerita dengan senyuman. Johan mendengar dengan teliti.
“Tapi, setelah mendapat tahu tentang kilat Thor dan teori ‘wormhole’ yang boleh diaktifkan setiap lapan tahun di loteng rumah ini, aku membeli rumah ini. Isteri dan anak aku gembira, namun apa yang mereka tidak tahu adalah, aku beli rumah ini adalah demi diri aku sendiri. Demi kajian aku.”
“ Aku menjadi terlalu obses. Masa aku, jika bukan berada di universiti untuk mengajar dan mencari sumber rujukan, aku akan berkurung dalam bilik kajian aku itu mengkaji setiap butiran dengan teliti. Hubungan aku dengan manusia lain terputus, termasuklah hubunag bersama dengan isteri dan anak aku yang tinggal serumah dengan aku. Rumah ini. Rumah yang sepatutnya mengembirakan mereka.” Prof. E menekup mukanya tanpa sesalan.

“Satu malam lapan tahun lalu, semasa waktunya tepat dengan ramalan kemunculan kilat Thor di loteng rumah, aku temui satu hasil keputusan yang sangat mengembirakan. Saat itu, segala teori aku terbukti benar dengan kewujudan fakta-fakta yang tidak lagi boleh aku sanggah. Aku ingin meraikan kegembiraan aku. Aku ingin raikan dengan orang yang aku sayang. Isteri dan anak aku. Aku berlari ke seluruh rumah mencari mereka. Tapi mereka tiada. Apa yang ada hanyalah sepucuk surat yang ditinggalkan di atas katil bilik tidur aku.”
“Surat itu tertulis bahawa, isteri dan anak aku terpaksa meninggalkan rumah itu dan menetap di kampung kerana merasakan sudah kehilangan aku. Mereka kata, aku seperti sudah ‘berkahwin’ dengan kerja aku.  Aku sudah tenggelam jauh dalam ketaksuban yang aku cari sendiri, sehinggakan melupakan dua insan yang paling aku sayang.”

“Adakah...hm...Prof dan isteri Prof sudah bercerai?” Johan bertanya.
“Tidak. Isteri aku tidak meminta cerai. Malah, dia kata apabila segala kerja aku sudah siap, aku boleh jemput mereka pulang dari kampung.” Prof. E menjawab.
“Dan ada Prof pergi bertemu mereka di kampung?”
Prof. E terdiam seketika. Soalan itu seperti susah untuk dijawab.
“Isteri aku pesan, jangan cari mereka sampai saat aku betul-betul mahukan mereka kembali.”
“Maknanya, selama lapan tahun ni, Prof tak pernah menjenguk mereka langsung?”
Prof. E mengangguk tanda iya.
Johan mengeluh panjang menekup muka.

“Aku cuma rasa, aku perlu selesaikan semua ini dulu, baru boleh bertemu dengan mereka tanpa sesalan.” Huraian Prof. E sekaligus membuatkan Johan membuka tekup tangan di mukanya.
“...dan Norman?” tanya Johan.
“Sewaktu meninggalkan aku, Norman berumur 17 tahun. Tetapi susuk tubuh dan gaya perangainya sama dengan kau. Sejak mereka keluar, aku tak pernah ubah segala barangan dan kelengkapan di bilik utama dan bilik Norman, sehinggalah kau datang tiga hari lalu.” Johan menunduk.
“Mungkin sebab kemiripan kau dengan Norman, aku benarkan kau tinggal di bilik dia..”
“...atau mungkin Prof rindukan dia dan isteri Prof.” Johan memotong kata Prof. E.
Prof. E terdiam, tidak menafikan kata-kata Johan.

“Walaupun Prof tidak mengatakannya, tapi saya tahu Prof penuh dengan sesalan.” Porf tidak memberi respon terhadap kata-kata Johan itu.
“Saya minta maaf dengan kata-kata saya semalam. Mesti Prof sangat tersinggung. Saya sepatutnya lebih sensitif dan bersyukur sebab Prof sudi menolong saya dari awal lagi.” Prof. E mengangguk tanda menerima kata-kata maaf dari Johan itu.
“Jadi, apa kata kita buat satu perjanjian. Saya akan berikan seratus peratus komitmen dalam kajian Prof untuk menghantar saya pulang, dengan syarat selepas semuanya berjaya, Prof berjanji akan pergi mencari kedua isteri dan anak Prof, minta maaf pada mereka, bawa mereka pulang ke sini dan jalani kehidupan normal seperti hidup keluarga yang lain. Boleh?”
“Komitmen?” Prof. E bertanya.
“Saya boleh mulakan dengan tidak menurut kata hati dengan pergi berjumpa dengan orang yang saya kenali di zaman saya seperti yang saya buat semalam. Hehehe..”
Ekspresi cerah dan riang di wajah johan amat terserlah. Prof. E tersenyum kecil melihatnya.
“Baiklah. Aku janji.”



BERSAMBUNG...[12]

Sep 14, 2012

Vorteks #10 Jaluran Alam Selari, Jalur Masa Alternatif.

0 nota kaki
[1][2][3][4][5][6][7][8][9]




“Rosak agaknya kereta aku. Atau mungkin dia sesat?” Prof. E mempersoal diri sendiri tentang kelewatan Johan. Jam sudah menunjukkan waktu petang, sedangkan Johan keluar pada awal tengahari tadi. Pada Prof. E, ke pasaraya membeli barang dan kemudian mengisi petrol di stesen minyak sebelah pasaraya tidak akan memakan masa selama ini. Gelisah, Prof. E turun dari bilik kajiannya ke ruang tamu sebelum membuka pintu dan menjenguk ke luar rumah. Masih tiada tanda kepulangan. Prof. E kembali ke ruang tamu dan duduk di sofa, masih kegelisahan.
Seketika kemudian, terdengar deruan enjin kereta lamanya. Deruan yang mampu mengejutkan sesiapa sahaja yang mendengarnya. Prof. E bangun berdiri dari tempat duduknya. Seketika, pintu dibuka, dan Johan muncul dengan bungkusan berisi minuman tenaga di tangan kiri dan kunci kereta di tangan kanan.

“Kenapa lambat?” Prof. E bertanya.
Johan tidak menjawab. Hanya mendiamkan diri. Dia menuju ke ruang dapur. Prof. E mengekorinya ke ruang dapur. Johan meletakkan bungkusan berisi minuman tenaga di atas meja di dapur berserta kunci kereta di sebelahnya. Jelas, wajahnya kesedihan.
“Kenapa lambat, Johan?” Prof. E mengulangi soalannya kerana difikirnya Johan tidak mendengarnya.

“Saya...Saya jumpa seseorang tadi.” Johan merebahkan punggungnya ke atas kerusi di meja makan. Johan masih belum bertemu mata dengan Prof. E.
“Siapa? Kau kenal ke?”
“Ya. Saya kenal.” Prof. E terkejut mendengarnya.
“Siapa?”
“Datuk saya.” Prof. E membeliakkan matanya. Dia cuba mahu mengingati kata-kata Johan sebelum ini.
“Bukankah kau kata datuk kau dah meninggal dunia lapan tahun lepas dalam zaman kau?”
“Ya.”
Ekspresi muka Prof. E berubah. Mukanya kelihatan marah.

“Kau sedar tak apa yang kau dah buat? Kau sedar tak?” Prof. E menengking Johan. Namun, Johan seperti sudah mengagak perkara tersebut bakal berlaku.
“Aku dah beritahu, kewujudan kau di masa ini terlalu bahaya. Sedikit perlakuan kau mampu mengubah masa depan, masa di mana kau datang.” Prof. E meninggikan suaranya terhadap Johan. Johan masih terduduk diam memandang meja tiada makna.
“Kami, para saintis, percaya dunia kita terdiri daripada jaluran alam yang selari yang tak terkira bilangannya, dipanggil 'parallel universe'. Satu perbuatan kau, akan wujud satu lagi jaluran alam yang lain. Tindakan kau mampu mengubah masa depan di mana kau berasal, malah mungkin mengubah masa depan zaman ini.”
Johan masih mendiamkan diri.
“Semasa di jalur masa kau berasal, datuk kau tidak bertemu dengan kau yang sudah dewasa, sedangkan apabila kau ke sini, dia bertemu dengan kau. Kau mungkin sudah mencipta satu jalur masa alternatif di mana ‘datuk kau bertemu dengan kau yang dewasa di masa akan datang’. Kami, para saintis, percaya, datuk kau yang sudah mati di masa kau mungkin tidak akan mati di masa ini kerana kau, gagal mengawal perasaan kau yang tidak matang, pergi bertemu dengan orang yang sepatutnya tidak tahu kau wujud!”
Johan menggenggam tangannya erat-erat.
“Datuk kau sudah mati di masa kau, tapi dia belum mati di masa ini, jadi kalau sesuatu berlaku akibat dari pertemuan kau itu, dan dia tidak mati di waktu yang sepatutnya, kau mungkin akan mengubah sejarah masa depan alam ini secara total. Kita mungkin di ambang kebinasaan!” Nada Prof. E makin tinggi.
“Pernah dengar perumpamaan ‘satu libas sayap kupu-kupu di timur mampu mencetus taufan di barat dunia’? Kami, para saintis, percaya, dalam kes ini, kaulah kupu-kupu itu. Perbuatan kau bertemu dengan orang yang sepatutnya mati mampu mencetus malapetaka kepada alam ini. Kau..”

“DIAM!” Johan berdiri dari kerusinya dan menghentak meja, marah.
“Saya mungkin bodoh sebab saya muda, tapi saya bukan si tolol yang perlu diherdik akibat sesuatu yang tidak pasti!” Johan membalas herdikan Prof. E tadi.
“Apa itu jaluran alam yang selari, apa itu 'parallel universe', apa itu jalur masa alternatif, Prof tidak pernahkah inginkan peluang kedua terhadap sesuatu?” Johan tepat menatap mata Prof. E.
“Pada saya, tidak dapat bertemu dengan Atuk di penghujung usianya adalah kekesalan yang paling terkesan kepada saya. Dan ini, datang ke lapan tahun sebelumnya, mungkin adalah kehendak Tuhan dengan memberikan saya peluang kedua.”

“Tuhan?” soal Prof. E.
“Kau berkata tentang Tuhan di dalam fakta sains?”
Johan bermuka hairan.
“’Tuhan’ hanyalah alasan mereka yang tidak mahu menerima fakta sains dan mahu terus percayakan dunia ini atas kehendak sendiri, sedangkan fakta sains sudah terbukti menjelaskan pelbagai perkara. Bagaimana kau bernafas, bagaimana kau dilahirkan, semua itu fakta sains.”
“Jadi, Prof tak percayakan kewujudan kuasa maha besar seperti Tuhan?”
“Sesuatu yang tidak dapat dijelaskan dengan fakta sains adalah tidak konklusif. Kami, para sainstis, percaya...”
“’Kami para saintis’? Prof asyik mengulang perkataan itu dari tadi. Adakah Prof fikirkan kalau semua saintis di dunia ini, yang wujud dari zaman dulu sampailah yang akan muncul di masa akan datang dikumpulkan, fakta dari mereka semua dapat menandingi kuasa Tuhan?”
Prof. E terdiam.

“Dalam Rukun Iman, ada percaya kepada Qada' dan Qadar, di mana mempercayai bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan-Nya semata-mata. Saya percaya, saya dihantar ke masa lapan tahun sebelumnya ini ada hikmahnya, ada sebabnya. Sebab itu, hikmah itu, tidak semestinya untuk kita. Kita beruntung jika dapat memikirkan hikmahnya, tapi jangan sampai mempersoalkan isi kandungannya. Itulah pesanan Atuk saya yang sedang tenat di atas katil tadi, semasa saya pergi bertemu dengan dia.”
Prof. E kelu seribu bahasa. Nada Johan juga bertukar suram.

“Dari keadaan dia, memang jelas dia sudah di penghujung waktunya. Kalau ikutkan sejarah di masa saya, dia akan meninggalkan kita esok hari. Saya bersyukur, dan berterima kasih kepada Prof sebab beri saya peluang untuk bertemu dengan dia untuk kali yang terakhir. Itulah peluang kedua saya.” Johan beredar dari kerusinya dan membelakangi Prof. E.
“Saya sudah temui peluang kedua saya, berkat bantuan dari Prof. Sekarang, saya harap Porf pula temui peluang kedua Prof melalui saya agar kita saling terhutang budi. Mungkin dengan bertemu semula dengan anak dan isteri Prof yang sudah lama pergi meninggalkan Prof.”
Prof. E terkejut.

“Ba..Bagaimana kau tahu tentang itu?”
“Bagi seseorang yang berpegang kuat kepada sains, Prof mengekalkan keadaan bilik utama dan bilik milik anak Prof seperti sedia kala sudah tentu bersebab. Prof mengharapkan mereka balik semula. Sama ada Prof menghalau mereka keluar, atau mereka sudah tidak tahan dan meninggalkan Prof.” Johan memusingkan kepalanya memandang Prof. E.
“Dari perangai Prof, saya rasa pilihan kedua adalah yang lebih tepat, kan?”
Johan pergi ke biliknya di tingkat atas meninggalkan Prof. E yang terkaku. Terkaku mendengar kata-kata Johan yang menaakul tepat mengenai perihal keluarganya dengan hanya meneliti keadaan rumahnya.
Lalu, Prof sedar sesuatu. Dia sedar, perasaan cepat mempercayai Johan yang selama ini kuat membelenggu dirinya adalah kerana sikap Johan begitu mirip dengan sikap anak lelakinya. Anak lelaki yang pergi meninggalkannya.



BERSAMBUNG...[11]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...