Nov 29, 2013

Vorteks #48 - Masa dan Hati.

0 nota kaki


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47]




“Okey, nampaknya pertemuan kita sampai di sini sahaja,” kata Pakcik Nizam sambil tersenyum lebar. Dihulurnya tangan untuk dijabat. Johan dengan segera menyambutnya.
“Terima kasih, pakcik. Jasa pakcik tak akan kami lupa.” Giliran Intan pula bersalaman.
“Pakcik yang patut berterima kasih. Kamu berdua sudah teman pakcik. Selalunya pakcik buat kerja sorang-sorang.” Pakcik Nizam cukup merendah diri. Senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya. Sesiapa yang melihat Pakcik Nizam pasti akan berasa selesa.
“Lagipun, ada penyanyi menghiburkan pakcik tadi,” sambung Pakcik Nizam, berseloroh. Intan juga ketawa kecil. Johan tersipu malu. Dia tidak sangka suaranya boleh didengar sampai ke bahagian hadapan lori.

Selepas seketika, Pakcik Nizam beredar bersama lorinya, meninggalkan Johan dan Intan di sebuah pondok menunggu bas di Pusat Bandar. Di tangan Johan terdapat beberapa keping duit syiling yang diberi oleh Pakcik Nizam sebentar tadi. Buat telefon keluarga katanya. Seraya, mata Johan liar mencari mana-mana pondok telefon awam yang berdekatan. Ada satu di seberang jalan dalam lingkungan 20 meter jarak.
“Apa kita nak buat sekarang?” tanya Intan kepada Johan.
“Kita call seseorang untuk ambil kita balik. Okey?” Intan mengangguk setuju.
Walaupun sudah lewat malam, namun Pusat Bandar tidak pernah lekang dengan manusia dan kenderaan. Walaupun jalanraya dua lorong, namun kenderaan yang berpusu-pusu menyukarkan mereka untuk ke seberang. Johan melihat kiri dan kanan, menunggu peluang untuk melintas. Sejurus nampak peluang, Johan terus menggenggam tangan kanan Intan dan memimpinnya melintas jalan.
Intan terkejut tangannya dipegang. Terasa seperti satu renjatan elektrik mengalir ke seluruh badan. Namun, badannya hanya menurut, berlari-lari anak melintas jalanraya.
“Kenapa hati aku berdebar-debar? Takkan hanya sebab dia pegang tangan aku, aku jadi macam ini? Bukankah tadi dia siap dukung aku lagi?” Intan mempersoalkan hatinya.
Johan melepaskan genggaman tangannya ketika sampai ke pondok telefon awam tersebut. Selepas memasukkan beberapa keping duit syiling pemberian Pakcik Nizam tadi, Johan menekan beberapa punat nombor yang diingatinya.
Intan yang berada di tepi merenung tangan kanannya. Wajahnya kemerah-merahan, namun akibat disinari cahaya lampu neon beberapa bangunan berdekatan, wajahnya kelihatan biasa. Cuma mata Intan kelihatan bundar dan basah bersinar.
“Awak tak apa-apa?” tegur Johan yang sedang menunggu deringan di sebalik talian. Johan perasan tindak-tanduk Intan sedikit lain.
“Ah, tak! Tak apa-apa,” jawab Intan tanpa memandang wajah Johan. Digenggamnya telapak tangan kanan dan diletakkan di dada.
“Mungkinkah ini...” bisik Intan kepada diri sendiri. Intan semakin larut ke dalam lamunan sendiri. Persekitaran yang sebelum ini ditemani dengan bunyi lalu-lalang kenderaan, semakin lenyap dari pendengaran Intan. Yang jelas hanyalah bunyi jantungnya yang berdegup kencang. Namun, Intan melayan degupan itu dengan menguntumkan senyuman. Wajahnya bertambah merah, semakin jelas kerana dibayangi kontra kulit putih gebunya. Pelik, tapi Intan sukakan perasaan ini. “Mungkinkah aku sudah ja..”
“Intan?” Bahu Intan dicuit Johan. Lantas, Intan tersedar dari lamunan singkatnya.
“Awak okey ke ni? Nampak lain macam je.”
Mata Intan dan Johan bertemu. Segera, Intan mengalih pandangannya ke arah lain. Johan kebingungan. Tak faham langsung dia dengan apa yang sedang berlaku.
“Saya baru selesai call Prof. Erman. Dia akan ambil kita di sini sesegera mungkin.” Tiada jawapan dari Intan. “Tapi sebelum Prof. E sampai, saya perlu berterus terang mengenai sesuatu kepada awak.”
Intan terkejut mendengar ayat yang diluahkan Johan. Dia, dengan mata yang terbeliak besar, berpusing kepada dan memandang tepat ke arah Johan yang berada di sebelahnya.
“Adakah dia...Adakah dia...Adakah dia nak luahkan perasaan dia terhadap aku?” sekali lagi Intan menyoal hatinya. Parah.

Sementara, di rumah Prof. E di Bandar Selatan:
“Siapa?”
Satu soalan ringkas diajukan oleh Prof. Shah kepada Prof. E yang sedang memegang gagang telefon selepas tamat perbualan. Dengan tenang, Prof. E meletakkan gagang telefon tersebut dan kemudian perlahan-lahan mengangkat muka memandang Prof. Shah.
“Johan,” jawab Prof. E. Ringkas.
“Johan? Maksud kau, Johan yang call tadi?” Prof. Shah ingin mendapatkan kepastian.
“Ya... dan dia selamat. Dia ada bersama Intan di Pusat Bandar. Dia suruh aku datang ambil mereka berdua.” Jawapan Prof. E itu mengejutkan Prof. Shah.
“Hahaha! Johan selamat. Malah berjaya selamatkan si budak perempuan yang kena culik itu. That boy was amazing. Tak sangka dia boleh selamat setelah apa yang berlaku padanya,” Prof. Shah tersenyum kagum.
“Aku tahu dia akan selamat. Tapi aku sendiri terkejut dapat berita sebegini,” kata prof. E.
“Itu maknanya kau masih belum percayakan budak Johan itu sepenuhnya,” sakat Prof. Shah.
“Jom, aku nak ikut kau jemput mereka. Nak juga aku tengok wajah budak perempuan yang bakal mengubah dunia tu”
                Selepas mencapai satu gugusan kunci dari atas meja , Prof. E dan Prof. Shah keluar dari rumah dan menuju ke kereta. Enjin kereta dihidupkan dan kemudian mereka bergerak membelah kelat malam menuju ke Pusat Bandar.

Di Pusat Bandar pula, Intan dan Johan sedang duduk bersebelahan di pondok menunggu bas tempat Pakcik Nizam tinggalkan mereka tadi. Walaupun diterangi cahaya putih lampu kalimantang, namun persekitaran agak gelap dan malap. Wajah Intan kelihatan serius mendengar penjelasan dari Johan.
“Jadi, awak tak mahu terlibat dengan polis? Kenapa?” tanya Intan.
“Saya tak boleh beritahu secara terperinci kenapa, tapi saya memang tak boleh terlibat dengan polis,” jawab Johan.
“Tapi, awak kata rumah saya penuh dengan polis. Nanti bila sampai rumah, macam mana dengan awak?”
“Prof. E yang akan serahkan awak kepada famili awak. Dia akan kata dia ternampak awak di Pusat Bandar dan bawa awak terus ke sini.”
“Apa pula saya nak cerita bila polis tanya macam mana saya boleh berada di Pusat Bandar?”
“Awak ceritakan yang awak diselamatkan seseorang dan awak lari tumpang naik lori seseorang dan berhenti turun di Pusat Bandar. Cuma jangan sebut dan cerita langsung tentang saya dan apa yang saya sudah buat.”
Intan terdiam. Dia memandang lantai. Kakinya yang berkasut besar itu menguis-nguis habuk di lantai walaupun habuk-habuk itu tidak dapat dilihatpun oleh mata kasar.
“Baiklah. Tapi satu saya nak tanya. Macam mana awak boleh tahu saya disembunyikan di rumah terbiar tu?”
Soalan dari Intan itu menguntumkan senyuman di bibir Johan.
“Saya tak boleh cerita. Tapi satu hari nanti, kalau kita ada jodoh untuk bertemu semula, saya ceritakan semuanya,” jawab Johan.
“Janji?”
“Janji.”

Intan menghulurkan jari kelingking kanannya ke arah Johan. Jari tersebut disambut dengan cakukan dari jari kelingking kanan Johan. Janji bertaut.



BERSAMBUNG...[49]

Nov 15, 2013

Vorteks #47 - Masa Depan Merupakan Masa Silamnya.

0 nota kaki


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46]




Hari sudah separuh berlalu, matahari sudah condong ke barat, namun Johan masih terbaring di atas katil di dalam bilik kolej kediamannya. Dibeleknya beberapa helai kertas keratan dari majalah hiburan yang dikoyakkannya. Salah satu keratan tersebut tercetak lirik lagu Kanvas nyanyian kumpulan Fire Recite Unit (FRU) yang kononnya sebagai lagu ‘comeback’ ke dalam industri seni dengan genre yang berbeza dari sebelumnya. FRU yang popular suatu masa dahulu dengan genre rock, kini memilih genre lebih perlahan dan berentak balada.
“Apa yang special sangat dengan lagu ni? Lirik pun entah apa maksudnya. Irama pun perlahan, mendayu, lembik.” Johan merungut sambil meneliti lama bait-bait lirik lagu itu.

Waktu itu, ketika kita sama-sama ketawa
melafaz "kita suka sama suka,"
waktu itu, sekecil mana khilaf kita lupakan sahaja.

Hilang tempat bertemu,
tempat pulang, aku tidak peduli.
Kerana hanya senyumanmu itu yang mahu aku lindungi.

Pertemuan, perpisahan
sebanyak bintang di atas kanvas malam...
Namun kini,
aku sangat tidak menginginkannya datang.

Aku hanya mahu kau di sisi,
di saat sukaku, dukaku.

Mari mula dari sini.
Mari bina esok milik kita.
Mari lakukannya seperti kita baru sahaja dilahirkan semula.

Seperti bunga ditiup angin musim panas,
mari kita berkembang cerah segera.

Johan mengeluh panjang. Tidak disedari, gelagat Johan diperhati teman sebiliknya Azlan sejak dari tadi.
“Kau mengeluh macam mana sekalipun, bukan kau boleh buat apa.” Mendengar kata-kata tadi, Johan mengalihkan pandangannya ke arah Azlan.
“Aku kurang faham apa yang membuatkan Hani terpikat dengan si Yusran ni. Katanya, dia mula berminat dengan Yusran selepas mendengar lagu Kanvas ini dari radio.” Johan kembali mengeluh panjang. Azlan dari tepi hanya tersenyum. “Katanya, lirik lagu ini sangat bermakna buat Hani.”
Azlan menghampiri Johan sebelum merebahkan punggungnya ke atas katil, duduk di sebelah Johan yang masih berbaring. “Jodoh, Johan. Jodoh. Siapalah kita mahu mempertikaikannya.”
Mendengar nasihat Azlan, Johan mengukir senyuman. Senyum sumbing.

Memori.
Memori masa lalu tiba-tiba terlintas di benak Johan. Dia tersenyum. Kali ini senyumannya tidak lagi sumbing. Dia tersenyum sambil memandang Intan di sebelahnya yang sedang leka melihat suasana sekeliling.
Pakcik Nizam berhenti rehat di sebuah hentian rehat dan rawat. Mahu buang air katanya. Setelah beberapa destinasi Pakcik Nizam berhenti untuk mengambil bekalan bajanya, kini mereka sudah memasuki lebuhraya dan menuju ke arah Pusat Bandar. Waktu rehat ini, Intan dan Johan berkeputusan untuk turun sebentar dari belakang lori. Selain berniat melejangkan badan yang terasa sengal dek kerana terlalu lama terlambung-lambung di belakang lori, mereka juga berharap dapat seketika lari dari udara beraroma baja yang memenuhi ruang di belakang lori tersebut. Namun, siapalah mereka untuk merungut. Dikutip dan diselamatkan dari tepi jalan, diberi air dan makanan, malah dibenarkan menumpang sehingga ke Pusat Bandar tanpa syarat, semua itu tidak ternilai hendak dibandingkan dengan tempat duduk kelas ekonomi meleset bertemankan beg-beg baja organik.
Hentian rehat dan rawat yang mereka singgahi ini tidaklah besar. Tiada kedai makan mahupun tempat orang ramai. Hanya satu bangunan tandas dan beberapa dangai yang disediakan untuk pengunjung. Terdapat juga beberapa buah lori treler yang berhenti bersama. Mungkin pemandu-pemandunya yang kepenatan ambil keputusan untuk melelapkan mata seketika memandangkan hari sudah jauh malam. Ragam orang mencari rezeki.
Johan dan Intan duduk di atas satu tunggul kayu yang rata.

“Awak!” Intan memanggil Johan. Johan menyahut.
“Bila difikirkan, siang tadi, saya amat pasti nasib saya akan menjadi buruk. Pada satu ketika, saya amat pasti yang saya akan jadi barang pemuas nafsu mereka tadi.” Intan menggigit bibirnya, teringatkan memori pahitnya.
“Entah dari mana, awak datang. Awak selamatkan saya. Dan kini, kita berada di sini. Selamat. Dalam perjalanan pulang ke rumah.” Intan mengukir senyuman. Johan turut sama.
“Terima kasih.”
Ucapan terima kasih Intan hanya disahut dengan anggukan dari Johan.

‘Manusia perlu terus ke depan. Masa silam dijadikan pedoman supaya kita pada masa kini tidak mengulangi kesilapan. Hasilnya, masa depan kita akan lebih terjamin.’
Ungkapan itulah yang Johan pegang dari kali pertama dia dengar sehinggalah ke hari ini. Dalam konteks Johan, masa depan merupakan masa silamnya, maka dia perlu sedaya upaya untuk terus ke depan. Dia perlu sedaya upaya memastikan Intan terselamat supaya Hani pada masa depan mampu memberi sinar kepada orang ramai, termasuk dirinya.
Pada Johan, dirinyalah yang perlu ucapkan TERIMA KASIH. Tanpa Intan, tanpa Hani, dia mungkin tidak sampai ke tempat dia berada kini.

“Baiklah. Mari sambung perjalanan.” Suara Pakcik Nizam memanggil dari jarak 10 kaki. Serentak, Intan dan Johan bangun dan menuju ke arah lori. Semasa melintas depan lori, Johan terperasan ada seorang lagi penumpang di tempat duduk kelindan lori Pakcik Nizam. Berusia mungkin pertengahan 30-an, dengan muka berjambang dan rambut tidak terurus, lelaki itu sedang terlentok tidur bersandarkan cermin pintu lori.
“Siapa?” Johan bertanya kepada Pakcik Nizam.
“Oh, dia seperti kamu. Pakcik jumpa berjalan seorang diri di pinggir hutan. Katanya sedang ‘mencari ilham’.” Pakcik Nizam menguit kedua-dua jari telunjuknya membentuk tanda petikan semasa menyebut ‘mencari ilham’. Tidak mengerti apa yang dimaksudkan Pakcik Nizam, Johan hanya berlalu ke belakang dengan senyuman.
Setelah semua siap, mereka menyambung perjalanan ke bandar.

Suasana sunyi seketika, tiada kata. Hanya kedengaran bunyi deruan enjin lori yang sedang bergerak dinaiki mereka.
Johan melihat Intan yang sedang termenung melihat bumbung lori. Mungkin tiada isu mahu dibicara, maka suasana menjadi diam. Johan tanpa disedarinya bersenandung. Walupun perlahan namun cukup untuk menarik minat Intan di sebelah.
“Awak humming lagu apa?” soal Intan. Soalan itu mengejutkan Johan yang sedikit terleka bersenandung.
“Er...Ar..Lagu reka-reka je...Hehe!” jawab Johan, kurang meyakinkan.
“Nyanyilah kuat sikit, saya nak dengar,” pinta Intan.
“Tapi suara saya tak sedap,” elak Johan.
“Tak apa, bukan suara saya sedap pun.”
Tipu. Pernah sekali Johan menonton rancangan siaran langsung di televisyen di mana Hani diminta untuk menyanyi sebuah lagu. Lagu Kanvas. Suara Hani sedap. Lunak. Lagu Kanvas menjadi hit hanya selepas rancangan itu bersiaran.
“Awak suka lagu apa?” tanya Johan.
“Apa-apa saja pun boleh,” jawab Intan sambil tersenyum.
Johan membalas senyum. Ditariknya nafas dalam-dalam sebelum berdehem membuat persedianan. Intan tergelak kecil melihat gelagat Johan.

Waktu itu, ketika kita sama-sama ketawa
melafaz "kita suka sama suka,"
waktu itu, sekecil mana khilaf kita lupakan sahaja...

Dalam banyak-banyak lagu, Johan memilih lagu Kanvas yang dibencinya.

Hilang tempat bertemu,
tempat pulang, aku tidak peduli.
Kerana hanya senyumanmu itu yang mahu aku lindungi.

Intan hanya mendengar, dan terus mendengar. Walaupun lari nada, walaupun dia tidak tahu lagu tersebut, namun Intan terus mendengar dengan senyuman.

Pertemuan, perpisahan
sebanyak bintang di atas kanvas malam...
Namun kini,
aku sangat tidak menginginkannya datang.

Aku hanya mahu kau di sisi,
di saat sukaku, dukaku.

Tanpa disedari, Pakcik Nizam dan lelaki berjambang di sebelahnya juga mendengar nyanyian Johan. Walaupun bukanlah sesedap mana, namun nyanyian itu sangat menghiburkan mereka berdua. Lelaki berjambang itu kemudian mengeluarkan buku notanya dan menulis sesuatu.

Mari mula dari sini.
Mari bina esok milik kita.
Mari lakukannya seperti kita baru sahaja dilahirkan semula.

Berlatarkan deruan enjin lori yang sedang bergerak, diikuti dengan sekali sekala irama kereta lain memintas, lagu yang dinyanyikan Johan ini begitu asyik dan menyenangkan Intan. Senyuman tidak lekang dari wajah Intan. Intan sedar bahawa lagu yang didengarinya ketika itu akan menjadi lagu kegemarannya. Lagu yang dinyanyikan oleh ‘wira berbaju perisai’, walaupun setting hanya berada di belakang sebuah lori berisi beg baja, namun bagi Intan ini adalah persembahan terbaik sepanjang hidupnya, mungkin seumur hidup, sehingga ke akhir hayat.
Apa yang Intan masih belum sedar ialah dia mungkin sudah jatuh cinta.

Seperti bunga ditiup angin musim panas,
mari kita berkembang cerah segera.

Beberapa ketika kemudian, lori mula bergerak perlahan dan banyak berhenti. Suasana di luar juga sudah berubah, kenderaan di sekeliling kedengaran semakin banyak. Dari sangkaan, mereka sudah memasuki kawasan padat. Ini bermakna mereka sudah hampir sampai ke destinasi, Pusat Bandar.
Kemudian, lori berhenti. Kedengaran pintu lori dibuka dan ditutup. Beberapa saat kemudian, Pakcik Nizam muncul di bahagian belakang lori.
“Kita sudah sampai.” Pakcik Nizam memberitahu Johan dan Intan dengan senyuman.

Pakcik Nizam berjalan ke depan lori dan bertemu dengan lelaki berjambang yang sudahpun turun dari lori.
“Terima kasih, Abang Nizam.” Lelaki berjambang itu menghulurkan salam sebelum disambut erat oleh Pakcik Nizam.
“Tak apa. Abang berbangga dapat tolong seorang artis terkenal.” Pakcik Nizam tersenyum lebar.
“Mana ada, bang. Saya sudah tak laku. Muzik rock sudah semakin mati.”
“Kalau rock semakin mati, kamu tukarlah muzik lain,” seloroh Pakcik Nizam.
“Mungkin. Begitulah perancangannya.” Lelaki berjambang itu melihat buku nota di tangannya sebelum tersenyum dan berlalu pergi.

“Fuh, tak sangka aku bertemu dengan artis, Yusran dari FRU,” bicara Pakcik Nizam seorang diri.





BERSAMBUNG...[48]

Nov 1, 2013

Vorteks #46 - Semasa Malam...

0 nota kaki


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45]




Orang ramai yang berada sekitar tertarik dengan kedatangan dua kenderaan pacuan empat roda milik pasukan polis. Kedua-dua kenderaan tersebut berhenti di hadapan pagar rumah Encik Ahmad. Disuluhi lampu jalan yang menyinar waktu malam, kelihatan Inspektor Bakar keluar dari salah sebuah kenderaan tersebut. Dia kemudian menuju masuk melalui pagar rumah Encik Ahmad sebelum mengetuk pintu. Pintu dibuka. Encik Ahmad mempelawa Inspektor Bakar masuk sambil menjenguk-jenguk kawasan luar untuk mencari kelibat anak perempuannya. Namun tiada.
Dari jauh terdapat dua pasang mata yang melihat situasi itu.

“Agaknya, berjaya tak budak perempuan itu diselamatkan?” Prof. Shah bersuara.
“Tiada kelibat mereka berdua, Johan dan Intan. Rasanya belum berjaya diselamatkan.” Prof. E di sebelah menjawab pertanyaan. Mereka berdua berada di depan muka pintu rumah Prof. E, memantau keadaan rumah Encik Ahmad untuk mengetahui berita terkini tentang Johan dan Intan.
“Bukankah lebih mudah jika kita berjumpa terus dengan bapa budak perempuan itu dan jelaskan segalanya,” Prof. Shah memberi cadangan.
“Tidak. Lebih baik kita tak libatkan banyak orang dalam hal ini. Siapa mahu percaya cerita karut yang bakal kita bongkarkan.” Prof. E menolak cadangan Prof. Shah. Prof. Shah mengangguk. Benar. Siapa mahu percaya ada remaja dari masa depan datang untuk selamatkan seorang gadis yang diculik.
“Mari kita masuk dan sambung ujikaji.”
Prof. Shah melibat kelibat Prof. E yang melintasinya masuk ke dalam rumah dan menaiki tangga ke tingkat atas. Dia sebenarnya sedikit pelik dengan Prof. E. Apa sebenarnya di dalam kepada pesaingnya itu.
“Aku kemukakan syarat yang tidak masuk akal untuk satu fail yang langsung tidak aku fahami. Tanpa berfikir panjang, dia setuju. Apa sebenarnya yang dia fikirkan?” Prof. Shah mengeluh kebingungan.
Lantas, Prof. Shah terkenang semula saat dia kemukakan syarat siang tadi.

“Boleh aku tengok Fail J tu?”
Prof. Shah senyum berhelah. “Boleh. Tapi dengan syarat.”
“Apa syaratnya?” Prof. E bertanya.
“Aku mahu ambil bahagian dalam projek kau ini. Sebarang kajian, penerbitan, mahupun pembentangan, aku akan dinamakan sebagai rakan kongsi dengan status yang sama taraf dengan kau. Tak kurang tak lebih.”
Mendengar syarat dari Prof. Shah itu, Prof. E berdiam diri seketika.
“Tunjukkan kepada aku isi Fail J, dan kau automatik menjadi partner aku dalam kajian ini.” Satu ayat dari mulut Prof. E yang mengejutkan Prof. Shah. Begitu mudah dia menerima syarat prof. Shah. Hasil kajian mengenai fenomena merentas masa yang dijalankannya selama berpuluh tahun atas usaha sendiri, dengan mudah dia bersetuju untuk berkongsi dengan seseorang yang menganggap dirinya sebagai musuh.
“Apa sudah jadi dengan Erman yang aku kenal?”

Suasana turut tegang di dalam rumah Encik Ahmad.
“Apa semua ini?” Encik Ahmad dan isterinya terbeliak luas melihat rakaman video dari telefon bimbit yang ditemui di tempat kejadian. Video yang dirakam Prof. E semasa bersembunyi di tepi rumah Intan disembunyikan.
“Apa jadi kepada Intan? Siapa lelaki yng bersamanya? Siapa penjahat itu? Di mana penjahat itu sekarang? Di mana Intan?” Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Encik Ahmad. Isterinya di sebelah hanya menutup mulut menahan air mata yang sedang bergenang.
“Kami sudah kerah pasukan menjejak mereka di dalam hutan, tapi akibat waktu yang sudah malam, kami terpaksa tangguhkan operasi,” jelas Inspektor Bakar.
“Maknanya, polis biarkan anak saya dikejar dua penjenayah tersebut di dalam hutan?” Nada Encik Ahmad bertukar tinggi.
“Tidak. Kami percaya dua penjenayah tersebut tidak mampu untuk terus mengejar anak encik. Lelaki yang bersamanya bertindak melindungi anak encik, dan kami percaya mereka mampu lepas dari buruan dua penjenayah tersebut.”
Encik Ahmad dan isteri saling bertukar pandangan.
“Siapa lelaki itu?” tanya Encik Ahmad.
“Itulah yang kami harap dari encik. Mungkin encik kenal lelaki tersebut?” Inspektor Bakar menunjukkan telefon bimbit yang sedang memaparkan imej berhenti lelaki yang berlari bersama Intan. Encik Ahmad dan isteri menatap imej itu seketika. Isteri Encik Ahmad menggelengkan kepala.
“Gambarnya kurang jelas, tapi kami pasti kami tidak kenal lelaki ini,” kata Encik Ahmad. Inspektor Bakar mengangguk faham.
“Lelaki ini mungkin dalam usia awal 20-an. Kalau kemudian Encik Ahmad tahu mengenainya, sila hubungi saya.” Inspektor Bakar menyimpan telefon bimbit tadi sebagai bahan bukti dan melangkah meninggalkan Encik Ahmad dan isteri yang sedang duduk di sofa.

“Tunggu, Inspektor!” Encik Ahmad bangun dan menghampiri Inspektor Bakar, meninggalkan isterinya sendirian.
“Ya?” Inspektor Bakar mematikan langkah.
“Tentang soalan Inspektor pagi tadi, mengenai ada orang berdendam dengan saya atau tidak, saya ada satu nama.” Ayat Encik Ahmad menarik minat Inspektor Bakar.
“Siapa?”

Di satu kawasan di sekitar Bandar Selatan, Encik Alex berada di dalam keretanya, sedang resah kerana panggilan telefonnya tidak diangkat.
“Ke mana pula keparat Zul ni? Berkali-kali aku call tapi tak angkat-angkat. Tengah sibuk melayan nafsu ke?” Selepas menekan beberepa butang di telefon bimbitnya, Encik Alex kemudian meletakkan telefon tersebut di telinga. Deringan di hujung talian masih tidak berjawab. Sekali lagi Encik Alex memaki hamun Zul. Semua jenis perkataan kesan sudah disebutnya.
Dek kerana kesabaran yang sudah menjadi cetek, Encik Alex mencampakkan telefon bimbitnya ke atas kerusi tempat duduk. Hatinya terasa sedikit tidak tenang, seperti ada berlaku sesuatu yang di luar perancangan. Mungkin ideanya mengupah penculik dari kalangan penggiat sindiket pelacuran bukanlah idea yang bagus.
Selepas beberapa saat menyandarkan dahi ke stereng kereta, telefon bimbitnya tadi berdering. Dengan pantas Encik Alex mengambil semula telefon tersebut dan melihat ID pemanggil.
Ahmad ACB (Work).
“Ahmad? Apa yang dia mahu? Adakah dia bersetuju dengan pertolongan yang aku tawarkan siang tadi?” Selepas beberapa ketika, Encik Alex menekan butang hijau di telefonnya.

“Hello, Encik Ahmad. Macam mana? Sudah puas fikir?” Suara Encik Alex bertukar menjadi mesra. Orang jahat memang bermuka-muka.
“Baiklah. Saya akan datang ke rumah awak untuk berbincang. Tunggu saya, ya.”
Selepas mematikan talian, Encik Alex menghela nafas panjang. Wajahnya yang tadi kelihatan marah sudah mampu mengukir senyuman. Lantas, dia menghidupkan enjin dan mula bergerak ke rumah Encik Ahmad tanpa mengetahui apa yang bakal dia hadapi.

“Ahmad, Ahmad. Bodoh punya orang.”



BERSAMBUNG...[47]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...