Jun 28, 2013

Vorteks #33 - Tepat Pada Masanya.

0 nota kaki


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32]




“Sana ada satu lagi.”
Johan menuding jarinya ke arah sebuah rumah tinggalan di tepi landasan keretapi. Rumah dua tingkat itu kelihatan usang dan tidak berpenghuni, akan tetapi sekelilingnya kemas dan bebas dari lalang yang tinggi. Jelas kelihatan, walaupun tidak dijaga, namun rumah itu masih digunakan orang.
Johan dan Prof. Erman menyembunyikan diri di sebalik dahan-dahan pokok rendah.
“Sudah dua rumah kita jumpa. Harap yang ketiga ini betul tempatnya.” Prof. E mengeluarkan alat GPS dari poket bajunya. Dia ingin memastikan koordinat rumah tersebut supaya nanti mudah untuknya melaporkan kedudukan kepada pihak polis.
“Biar saya pergi dekat sikit. Kalau betul, saya beri isyarat kepada Prof dari jauh, ya?”
Prof. E menganggukkan kepalanya tanda setuju dengan cadangan Johan. Johan kemudian dengan perlahan bergerak sembunyi dari satu pokok ke pokok yang lain, semakin menghampiri rumah tinggalan itu.
Akhirnya Johan berada di dinding luar rumah tersebut. Dia dengan bersandarkan belakangnya ke dinding, perlahan-lahan menyusur langkah menghampiri bahagian depan rumah itu. Tangan kanannya masih erat memegang pemotong dawai yang sepanjang satu hasta. Pemotong dawai itu telah digunakannya semasa memotong dawai pagar untuk memasuki kawasan landasan keretapi sebentar tadi. Pemotong dawai itu juga difikirnya boleh dijadikan sebagai senjata. Johan sedar, jika dia mahu menyelamatkan Intan, dia perlu berhadapan dengan si penculiknya. Maka, senjata adalah perlu.

Prof. E jauh di sebalik pokok. Jarak antara mereka dalam 30 meter, namun dipisahkan oleh pokok-pokok renek dan lalang tinggi menjulang. Prof. E gigih memerhatikan Johan di sebalik dedaun tumbuhan hijau itu. Sebelah kiri tangannya memegang alat GPS, manakala sebelah kanan tangannya memegang telefon bimbit dengan tertera nombor balai polis di skrin. Dia hanya menunggu untuk menerima isyarat dari Johan. Jika Johan memberi isyarat tangan bersilang membentuk pangkah, maka rumah tinggalan itu bukanlah tempat Intan disembunyikan. Jika Johan memberikan isyarat tangan membentuk bulatan, maka Prof. E hanya perlu menekan butang hijau di telefonnya dan melaporkan kepada pihak polis tentang kedudukan rumah itu. Bagi Prof. E, adalah penting untuk segera melaporkan kedudukan tempat Intan disembunyikan ini kepada pihak polis.
Sekali-sekala, kelihatan pandangan Johan beralih memandang ke kedudukan Prof. E di dalam hutan. Ini bagi memastikan dirinya tidak hilang dari pandangan Prof. E. Adalah penting untuk dia dapat berinteraksi dengan Prof. E walaupun dari jarak jauh.
Degup jantung Johan dapat dirasai dirinya. Kencang.

“Kau dari mana, Bawi?”
Suara yang datang dari dalam rumah tinggalan itu memberhentikan langkah Johan. Dia mengintai ke dalam rumah melalui hujung penjuru bawah sebuah tingkap. Kelihatan kelibat dua lelaki. Seorang berbadan besar sedang berdiri, seorang berbadan kurus tinggi sedang duduk di atas kerusi sambil memegang majalah hiburan lama untuk bacaan.
Johan mendiamkan diri sambil cuba mendengar perbualan mereka.

“Aku dari belakang. Baru lepas tahan pintu bilik mandi dengan kerusi. Zul sudah terkurung dalam bilik mandi tu.” Lelaki berbadan besar itu menjawab pertanyaan temannya tadi.
“Berani betul kau, Bawi. Berapi si Zul tu nanti marah.”
“Alaa, siapa suruh mandi lama sangat. Aku peduli apa dia marah. Aku tak pernah anggap dia ketua. Aku pun nak merasa yang fresh. Asyik dapat saki-baki, tak seronok.”
Pergh! Berani betul kau ni.”
“Sebelum si Zul sedar dia terkurung, aku nak naik ratah lauk aku dulu. Kau nak join tak, Galah?”
 “Lepas kau selesai, kau panggil aku. Tapi jangan hentam sampai lunyai. Jadi sayur, lembik, aku tak suka.”
“Kita bertiga je. Itupun seorang dah kena kurung. Layan kita dua orang, takkan nak lunyai kot.” Serentak Galah dan Bawi ketawa terbahak-bahak.
“Jadi, dalam rumah ini ada tiga orang saja. Mereka ini dipanggil Bawi dan Galah. Seorang sudah kena kurung di belakang, dipanggil Zul.” Johan cuba untuk mengenalpasti keadaan.

Bawi bergerak ke arah tangga. Selepas dua anak tangga dinaikinya, dia kembali berpusing ke arah Galah yang masih duduk di tengah ruang.
“Wei, Galah. Kau tahu apa nama lauk kat atas tu?”
“Kenapa kau nak tahu?”
“Aku nak jerit nama dia masa tengah ‘enjut-enjut’.”
Galah tergelak kecil. Dia kemudian terdiam seketika sambil memegang dagunya memikirkan sesuatu. Bawi masih terhenti di anak tangga kedua, menunggu jawapan dari Galah.
“Tak salah aku, semalam aku ada terdengar emak dia panggil dia. Hmm..” Galah masih terus berfikir.
“CEPATLAH!” Bawi meninggi suara, mendesak.
“Hah, aku ingat! INTAN! Mak dia panggil dia Intan.”

INTAN?” jerit Johan dalam hati.
Rupanya, ‘lauk’ yang dibualkan mereka merujuk kepada manusia. Manusia yang dicarinya selama ini, Intan. Fresh, ratah, sayur, lunyai, enjut-enjut, semua itu merujuk kepada perkara buruk yang bakal berlaku terhadap Intan.
Berderau amarah Johan dapat dirasakannya mengalir dalam darah. Adrenalin merembes ligat. Semakin kuat genggaman Johan memegang alat pemotong dawai di tangannya.
Johan berpusing ke arah kedudukan di mana Prof. E berada. Dia tidak nampak Prof. E, tapi dia tahu Prof. E memerhatikannya. Johan kemudian mengangkat tangannya membentuk bulatan sebagai tanda isyarat positif bahawa Intan berada di dalam rumah tinggalan itu.

Dari jauh, Prof. E nampak isyarat Johan. Prof. E terkejut, seperti ada satu renjatan menyelubungi badannya. “THIS IS IT. Aku kena segera call polis.”
Prof. E dengan segera menekan butang hijau di telefon bimbitnya. Dilekapnya telefon itu ke telinga. Kedengaran bunyi deringan di hujung talian. Kemudian, deringan itu dijawab.
“Hello, polis. Saya ada maklumat tentang satu kes penculikan...”

“Intan! Intan! Intan!” Bawi mengajuk-ajuk nama anak gadis di bawah tawanannya itu.
“Sedap tak, Intan? Nak lagi tak, Intan?” Galah melayan ajukan. Bergema gelak tawa Bawi dan Galah. Bawi kemudian menyambung langkahnya mendaki tangga ke tingkat atas. Galah menghabiskan gelaknya dan kemudian sambung membelek majalah di tangan.
Johan di sebalik tingkap berpeluh. Marah. Kakinya menggeletar. Dia kemudian memejamkan matanya dengan kuat, seperti mahu mengumpul keringat.
Lalu, Johan membuka mata. Dia mengangkat alat pemotong dawai di tangannya dan bergerak menuju ke pintu masuk rumah itu.

Setelah selesai membacakan koordinat yang tertera di alat GPS kepada polis, Prof. E beralih pandangannya ke arah kedudukan Johan. Dia terkejut. Johan sudah tiada di tempat dia sepatutnya berada.
“Johan, apa kau sedang buat?” benak hati Prof. E kerisauan.

Johan melangkah masuk ke ruang tamu tempat Galah sedang duduk membaca majalah. Bawi sudah tidak kelihatan. Dia pasti sudah berada di tingkat atas.
Kelibat Johan terhalang dengan majalah yang sedang dibaca Galah. Johan dengan langkah laju menghampiri Galah.
“Hey!” Johan menegur.
Galah terkejut. Namun, sebelum sempat dia menurunkan majalah melihat siapa yang menegur, satu libasan kuat hinggap ke sebelah kiri kepalanya. Hadiah khas dari Johan.
Seperti yang difikirkan, Johan menggunakan alat pemotong dawai itu sebagai senjata.
Jatuh tersungkur Galah dari atas kerusi terus ke lantai. Dia terus hilang kesedaran.
Johan kemudian melangkah laju menuju ke tangga.

Di tingkat atas, Bawi mengetuk pintu tiga kali sebelum memulas tombol pintu bilik Intan dikurung. Mangga selak tambahan pintu sudah dibukanya terlebih dahulu. Selepas pintu dibuka, kelihatan Intan ketakutan sedang memperkemas kedudukan dirinya di hujung penjuru bilik.
Intan tidak menangis, tapi kakinya yang terikat bersama sedang bersedia untuk menendang.
Bawi dari pintu perlahan-lahan menghampiri Intan.
“Jangan takut, Intan. Abang ada.”
Bawi terus menghampiri Intan.
Intan menggeletar ketakutan.
Bawi sudah berada kurang satu kaki dari Intan.
Intan mengangkat kedua kakinya sambil menendang ke arah Bawi berkali-kali, tapi dia hanya berjaya menendang angin kerana Bawi dapat mengelak.
Dengan tangan ke hadapan, Bawi menerkam kedua-dua kaki Intan. Dia berjaya menangkap kaki Intan dan mematikan cubaan tendangan Intan. Intan menjerit, namun tiada suara kerana mulutnya ditutup pita.
“Jeritlah. Jerit. Tiada siapa peduli.”

“Ya Tuhan Yang Maha Besar. Selamatkanlah hamba-Mu ini.”
Satu bunyi hentakan kuat berdentum.
Gerakan Bawi terhenti. Dia tiba-tiba jatuh terjelepuk ke sebelah kanan kaki Intan.
Berdiri tegak di belakang Bawi ialah seorang lelaki dengan alat pemotong dawai di tangan.


“Tepat pada masanya.”



BERSAMBUNG...[34]

Jun 21, 2013

Vorteks #32 - Masa Berseorangan.

0 nota kaki



[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31]




Hambar.
Intan yang sedang duduk memeluk kakinya, masih berada di penjuru paling jauh dari pintu bilik tempat dia dikurung. Tajam matanya menatap pintu bilil. Seluruh bahasa tubuhnya mengadap ke arah pintu itu sambil meneka-neka siapa yang bakal masuk melaluinya. Adakah si penjahat durjana? Ataupun ahli pasukan penyelamat? Ataupun ayahnya? Mungkinkah perwira dengan berbaju perisai sambil membawa pedang panjang seperti figura yang selalu dijaja sebagai hero dalam cerita dongeng kanak-kanak? Badannya yang masih menggigil ketakutan tidak peduli apapun jawapannya, asalkan yang masuk melalui pintu itu bukanlah si durjana bermuka rakus seperti haiwan yang ketagihan nafsu.

Sekali-sekala, Intan membetulkan pelukan tangannya. Peluh yang pecah membasahi badan membuatkan cengkaman tangan menjadi licin dan tidak kuat. Kadang kala Intan menggenggam lengan baju untuk menguatkan pelukan. Dia tidak berniat mahu melepaskan pelukan badannya itu. Dari perlakuannya, merapatkan kedua-dua belah kakinya ke badan dan menjadikan kedua-dua tangannya sebagai pengunci, memeluk kaki dengan erat adalah sebagai tanda dia akan mempertahankan kehormatan dirinya walaupun apa yang bakal dihadapinya. Dia perempuan. Dia sedar, dia seperti seketul anak kambing dikurung di dalam sebuah kandang singa yang lapar.

“Ibu...”
Perlahan suara keluar dari mulut Intan. Suara yang agak terketar-ketar. Kali terakhir dia ternampak ibunya adalah apabila ibunya diserang di kepala oleh salah seorang lelaki durjana itu semasa dia diusung culik keluar dari rumah. Dia nampak dengan jelas ibunya jatuh rebah ke atas lantai dengan darah merah likat mengalir keluar.
Ibunya bukanlah seorang yang kuat. Di mata Intan, ibunya sangat lembut dan bersopan santun. Setiap susun laku ibunya begitu lembut, sehinggakan sesiapa yang memandang akan berada sejuk dan redup. Malah, bibir yang sentiasa dihiasi senyuman menjadikan ibu Intan sentiasa diselubungi aura penyayang.
Adakah ibu tidak apa-apa?
Adakah ibu selamat?
Adakah ayah ada bersama ibu sekarang?

“Ayah...”
Disebutnya pula seorang lagi insan terpenting dalam hidupnya. Ayah Intan adalah seorang ‘family man’. Dia begitu mengutamakan keluarga. Dahulu, pernah dia membatalkan lawatan perniagaan ke luar negara hanya kerana Intan menghidap demam. Katanya, “Ayah kerja kuat untuk keluarga. Jadi, tiada guna kalau dapat duit banyak tapi keluarga terabai.” Intan berazam, satu hari nanti, bila sampai masanya, dia akan mencari seorang teman hidup mirip ayahnya. Seseorang yang mengutamakan keluarga melebihi segalanya. Seseorang yang sanggup berkorban demi insan yang disayangi.
Intan berfikiran, mengenali ayahnya, mungkin ayah sekarang sudah berada di sisi ibunya. Ayah mesti sedang sedaya upaya cuba menenangkan ibu. Dalam masa sama, dia mesti sedang berkeras mendesak semua pegawai polis dan pegawai penyiasatan menjejak anaknya yang diculik. Ayah tidak akan duduk diam berpeluk tubuh. Dia akan cari seribu satu cara untuk menyelamatkan anaknya.
Ayah, saya berada di sini.
Ayah datanglah selamatkan saya.
Ayah jangan biarkan para penjahat ini terlepas begitu sahaja.

“Farhan...”
Farhan adalah nama adik lelaki kecil Intan. Berumur dua tahun, Farhan masih belum boleh berenggang lama dari ibunya. Walaupun kecil, mulutnya sangat becok dan kuat berceloteh. Namun, bahasa yang dipertuturkan tidak dapat difahami, maklum, bahasa budak kecil berumur dua tahun. Tapi, gelagat Farhan sentiasa menceriakan suasana rumah. Dia adalah penyeri kepada keluar Encik Ahmad.
Pada Intan, Farhan terlalu kecil untuk memahai apa yang sedang berlaku kepada keluarganya. Separuh dari hati Intan bersyukur bahawa bukan Farhan yang berada di tempatnya. Bagi seorang budak kecil berumur dua tahun untuk dijadikan mangsa penculikan, azab yang bakal dirasai mungkin jauh berlipat kali ganda dari apa yang dialaminya. Namun, separuh lagi dari hatinya berasa sedih kerana ada kemungkinan dia tidak dapat bersua muka menikmati riang gembira bersama Farhan.
Farhan sihat?
Farhan, kakak sayang Farhan.
Farhan sayang kakak?

Airmata kembali membasahi pipi Intan. Dengan hanya memikirkan terdapat kemungkinan dia tidak dapat pulang bertemu dengan keluarganya, Intan sudah tidak dapat menahan kesedihan.

“Aida...”
Di saat bersedih seperti ini, nama kawan baiknya muncul di bibir. Aida adalah seorang kawan yang ada di waktu suka dan duka. Senang bila bersama Aida. Tiada rahsia antara mereka. Aida adalah satu-satunya insan yang tahu akan cita-cita Intan untuk menjadi seorang selebriti. Intan takut untuk berterus-terang mengenai keinginan itu kepada ibubapanya, tetapi tidak kepada Aida. Aida merupakan seorang kawan yang memahami. Dia tahu ketika mana dia perlu menegur Intan, ketika mana dia hanya perlu mendengar rungutan Intan dan ketika mana dia perlu menasihati Intan. Intan bersyukur dikurnia seorang kawan seperti Aida.
Intan meneka, Aida mungkin merupakan manusia yang paling sedih apabila mendengar berita Intan diculik selain kedua ibubapanya. Aida mungkin tidak mampu untuk berbuat apa-apa, tetapi bila dia mendengar berita itu, dia mungkin akan sentiasa bersama ibu Intan. Di samping dapat menenangkan ibu Intan, Aida juga pasti mahu menjadi antara individu pertama yang mendengar tentang perkembangan kes Intan diculik.
Aida. Bersabarlah.
Kalau dipanjangkan usia,
kita akan bersama lagi.

Manusia perlu terus ke depan. Masa silam dijadikan pedoman supaya kita pada masa kini tidak mengulangi kesilapan. Hasilnya, masa depan kita akan lebih terjamin.”
Tiba-tiba, kata-kata Yusran (Johan) muncul dalam benak fikiran Intan. Wajah Yusran secara automatik timbul dalam fikirannya. Senyumannya, wajah seriusnya, suaranya, semuanya dapat dibayang oleh Intan. Walaupun hanya baru beberapa hari berkenalan, tetapi Yusran sangat mempengaruhi Intan. Sedar tidak sedar, wajah Intan menjadi kemerah-merahan, dan airmata sudah berhenti mengalir.
Wajah Intan bertukar.
“Ya. Kalau aku putus asa sekarang, maka inilah penamat hidup aku. Manusia perlu terus ke depan.”

Kok kok kok.

Pintu bilik Intan dikurung diketuk. Lalu, tombol bergoncang, berputar dan pintu dibuka.



BERSAMBUNG...[33]

Jun 7, 2013

Vorteks #31 - Empat Tempat Satu Masa.

0 nota kaki


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30]




Angin bergeser dengan daun-daun menghasilkan bunyi seakan-akan siulan yang datang dari pokok. Bunyi itulah yang menjadi peneman Johan dan Prof. Erman dalam perjalanan mereka merentas hutan sebelum bertemu dengan landasan keretapi. Landasan keretapi tersebut menghubungkan antara Lapangan Terbang Utama Arahjaya dengan seluruh kawasan Arahjaya. Sepanjang jalan sehingga ke penghujung landasan, akan ada satu kawasan dipercayai tempat Intan disorok selepas diculik awal pagi tadi. Tempat itulah matlamat mereka berdua.

20 Mac 2004, jam 1114.
“Johan, ingat. Kita akan ikut sepanjang landasan ini dan bila berjumpa dengan tempat yang disyaki, kita sahkan dulu. Lepas itu baru kita buat panggilan kepada polis, biar polis handle.”
Johan memberhentikan langkah kakinya setelah mendengar kata-kata Prof. E itu. Dia kemudian memalingkan kepala kepada Prof. E yang berjalan di belakangnya.
“Prof...” Johan tersenyum.
“...dekat 40 kali dah saya dengar perkara tu keluar dari mulut Prof.”
Prof. E tersenyum. 40 kali mungkin terlalu ditokok tambah, tapi dia yakin dia sudah mengulangnya hampir masuk dua digit.
“Aku cuma nak ingatkan. Kita tak tahu siapa yang bakal kita berhadapan.” Nafas Prof. E menjadi pendek. Pada usia dia, merentas hutan menuju ke tempat yang belum diketahui kewujudannya adalah sesuatu yang sangat memenatkan.
“Saya cadangkan Prof simpan tenaga untuk perjalanan ini daripada terus mengulang perkara yang saya dah tahu.” Prof. E dan Johan ketawa kecil.
Seketika kemudian, langkah kedua-dua Prof. E dan Johan terhenti.
“Itu. Itulah dia.” Prof. E meluruskan jari telunjuk mengacukan ke arah sesuatu di hadapan mereka. Johan tersenyum.
“Itulah dia. Landasan keretapi. Apa yang perlu kita buat ialah berjalan sepanjang landasan ini menuju ke arah timur sambil melihat kalau-kalau ada tempat Intan disembunyikan di sekitar.”

Pada masa yang sama, di satu kawasan sekitar Bandar Selatan:
“Hello, Zul!” Encik Alex kelihatan sedang membuat panggilan kepada Zul, si lelaki berbadan tegap merangkap ketua daripada geng tiga orang yang menculik Intan.
“Hello Encik Alex. Apa hal telefon? Mahu cerita tentang bayaran kah?”
“Sabar dulu. Bayaran tak lari. Tapi aku ada satu berita baik untuk kau orang.”
“Apa dia?”
“Dengar sini. Kau bertiga sudah boleh kerjakan itu budak perempuan. Buatlah apa yang kau suka.”
“Wah. Itu memang berita gembira tu!”
“Pastikan budak itu dapat cukup-cukup. Lepas kau orang puas, tunggu panggilan dari aku. Bila aku benarkan kau lepaskan budak itu, lepaskan dia ke tempat yang senang dijumpai.Tapi jangan sampai mati pula. Ingat tu?”
“Ok, Encik Alex. Itu jangan risau. Serahkan saja kepada kami.”
“Lepas tugas kau itu selesai, baru kita cerita tentang bayaran.”
“Baik, Encik Alex.”
Perbualan telefon itu ditamatkan. Senyuman sinis bercampur kepuasan terukir lebar di wajah Encik Alex. Dia yakin, segala yang dirancang olehnya berjalan dengan lancar.

Sementara di rumah Intan di utara Bandar Selatan:
Encik Ahmad kelihatan terduduk menunduk dengan kepala ditahan dua tangannya. Dia jelas runsing. Dia kemudian dihampiri oleh isterinya yang pipinya masih dibasahi air mata.
“Abang, kenapa?” tanya isteri Encik Ahmad.
Encik Ahmad bingung, tidak pasti sama ada mahu berterus-terang dengan isterinya atau tidak. Separuh hatinya menganggap lebih baik dirahsiakan tentang tawaran Encik Alex itu dari isterinya. Separuh lagi mendesak untuk menceritakan supaya dirinya dapat pandangan dari orang ketiga untuk membuat keputusan.
“Tak apa-apa, sayang. Nanti abang ceritakan.”
Mereka berdua kemudian dihampiri seorang pegawai polis berpangkat inspektor.
“Maafkan saya, Encik Ahmad, puan.” Serentak kedua-dua kepala Encik Ahmad dan isterinya berpaling ke arah inspektor itu.
“Saya ada beberapa soalan yang mahu ditanyakan.”
“Ya. Silakan.”
Inspektor tersebut membelek-belek beberapa helai kertas di tangannya.
“Dari siasatan kami dari pagi tadi, kami dapati ini bukan satu kes pecah rumah dan penculikan biasa.”
Muka Encik Ahmad dan isterinya serta merta berubah. Terkejut.
“Kita pada mulanya beranggapan kes ini pada asalnya adalah pecah rumah, kemudian berlarutan kepada penculikan apabila melibatkan anak gadis encik. Tapi, hakikatnya adalah sebaliknya.”
“Sebaliknya? Bagaimana?”
“Ya. Maksud saya, kemungkinan besar para penjenayah dari awal sudah berniat mahu menculik. Pecah rumah dan mencuri barangan berharga hanyalah sampingan.”
Isteri Encik Ahmad menjerit kecil dan kembali menangis. Encik Ahmad kemudian memeluk isterinya untuk menenangkannya.
“Jadi, soalan pertama saya, ada sesiapa yang Encik Ahmad suspek berdendam dengan Encik Ahmad sehingga mampu merancang jenayah seperti ini?”
Terus, Encik Ahmad terbayangkan muka seseorang. Alex.

Di sebuah rumah tinggal usang, di pinggir sempadan kawasan lapangan terbang:
“Bawi, Galah. Kita dah dapat green light.” Zul memberi khabar berita.
Green light? Untuk apa?” Bawi, si seorang dari geng bertiga yang berbadan besar, kebingungan.
“Bodoh ke apa? Tu hah! Lauk dekat atas tu.” Giliran Galah, lelaki tinggi lampai, untuk bersuara.
“Maknanya kita tak payah tunggu masuk malam lah, ya?” Bawi kedengaran riang. Dia memang tertunggu-tunggu peluangnya untuk melampiaskan nafsu.
“Dengar sini. Biar aku yang rasmi. Korang berdua jangan cuba nak potong line. Kalau tak, tahulah akibatnya.” Zul memberi amaran. Bawi kelihatan kecewa, tapi Galah seperti tidak kisahkannya.
“Aku nak mandi dulu. Aku tak suka badan aku busuk semasa ‘berseronok’, tapi aku paling suka peluh anak dara.”
Serentak mereka bertiga ketawa berdekah-dekah. Kemudian, Zul beredar dari situ menuju ke bilik mandi di belakang rumah. Bawi dan Galah berpandangan sesama sendiri.
“Galah, aku pun nak rasa yang dara juga. Asyik Zul je yang dapat.” Bawi merungut.
“Biarlah dia. Dia yang dapatkan kita habuan. Aku tak kisah. Dara ke, tak dara ke, aku bedal je semua.”

Di tingkat atas, di dalam bilik Intan dikurung, Intan masih terduduk di hujung penjuru paling jauh bilik. Walaupun sudah berhenti menangis, tapi seluruh badannya masih menggigil.

Dia tahu bala yang semakin menghampirinya.



BERSAMBUNG...[32]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...