Jul 27, 2012

Vorteks #4 Masa Bermasalah

0 nota kaki


[1][2][3]





     Anak mata Johan mengecil dek dihujani cahaya dari tingkap yang disingkap.
     Kesilauan itulah yang membuatkan dia terjaga dari lena. Dahinya berkerut, hatinya menyumpah siapa yang menyelak langsir dan membenarkan silau matahari pagi menerjah mukanya. Sehinggalah betul-betul sedar, Johan dapati dirinya terduduk di atas kerusi kayu dan diselubungi selimut. Kedua belah tangannya diikat ketat di lengan kerusi, manakala kakinya ditambat kemas di kaki kerusi. Dia meronta kuat beberapa ketika sehinggalah dia sedar tiada apa yang boleh dilakukannya untuk melepaskan diri.

     Di hadapannya, seorang lelaki tua berkaca mata berusia lewat 50-an berdiri di sisi tingkap memegang langsir yang baru disingkapnya.
     Johan mengecilkan matanya untuk melihat kelibat lelaki itu tapi silau cahaya tingkap membuatkan matanya tak mampu bertahan. Menyedari keperitan silau yang dialami, lelaki tua itu menarik semua langsir dan melindung tingkap. Suasana bilik kembali kelam.

     “Nama aku Profesor Erman. Aku pemilik rumah ini.” Lelaki tua itu mula bersuara.
     “Kalau kau berikan alasan yang kukuh kenapa aku terjumpa kau terbaring tidur dalam keadaan bogel dalam bilik loteng yang aku kunci dari luar, mungkin aku takkan panggil polis.”

     Tidur? Bogel?
     Fikiran Johan penuh dengan persoalan.
     Selepas mendengar kata-kata tersebut, barulah dia sedar bahawa selain selimut yang menyelubungi tubuh yang terikat di kerusi itu, tiada sehelai benangpun di badannya.

     “Maafkan saya,” kata Johan.
     “Kawan saya kata ini rumah kosong yang berhantu. Jadi, untuk menguji keberanian, kami masuk ke dalam. Saya tak tahu pun rupanya rumah ini masih berpenghuni.”


     “Habis tu, kenapa bogel?” Prof. E mempersoal.
     “Saya tak tahu. Mungkin mereka...maksud saya, kawan-kawan saya berpakat nak prank saya dan pengsankan saya dan tinggalkan saya dalam keadaan bogel.”

     Johan tidak pasti dengan jawapannya. Setahu dia, kawannya si Azlan itu bukan jenis yang suka kenakan kawan sebegitu teruk. Meninggalkan kawan dalam keadaan bogel dalam rumah orang, itu sudah melampau. Azlan tidak sejahat itu. Tapi melihat dirinya tertangkap bogel dalam rumah orang lain, tambahan pula dengan ugutan untuk dibawa ke muka polis, Johan tidak pasti masih mahu percayakan Azlan atau tidak. Dia mungkin akan dibuang status sebagai pelajar perubatan universitinya jika ada campur tangan pihak berkuasa.

     “Habis tu? Macam mana boleh masuk bilik yang aku kunci dari luar?” Prof. E mula meninggikan nada tanda tegas. Johan hanya menggelengkan kepala tanda tidak tahu dengan wajahnya yang penuh kekesalan. Dia hampir menjatuhkan airmata.

     Wajah itu.
     Prof. E sudah mengajar di universiti selama hampir 30 tahun. Dia kenal benar dengan muka pelajar yang jujur dan pelajar yang menipu. Dia cukup masak dengan alasan anak-anak muda bila ditanyakan tentang kerja yang tidak siap. Dia sangat tahu sejauh mana mereka mampu bertindak atas alasan berseronok, seperti contoh, mencalarkan kereta pensyarah yang tidak digemari dengan duit syiling, atau meninggalkan kawan dalam keadaan bogel dalam rumah orang lain.

     Namun, wajah yang ditunjukkan anak muda depannya itu adalah wajah sebenar yang penuh dengan kekesalan. Kekesalan atas kesalahannya mengikut naluri ingin tahu orang muda tanpa mengira akibat yang bakal ditanggung.

     “Tak apalah. Aku percayakan kau.” Prof. E menudingkan jarinya ke arah satu timbunan baju di atas lantai.
     “Itu baju spare untuk kau pakai. Aku akan buka ikatan tangan dan kaki kau, kemudian kau pakai baju itu dan ikut aku ke bawah, kita akan berbincang di ruang tamu.”


     Mendengar kata-kata Prof. E, Johan menguntum senyuman.
     “Terima kasih. Terima kasih.”
     Prof. E beredar, memberikan privasi untuk Johan menyarung pakaian yang diberikan.

     Sampai hati Azlan dan Fitri meninggalkan aku. Agaknya apa hukuman yang akan aku dapat? Hati Johan penuh dengan persoalan. Namun prioriti dia adalah untuk beredar dari rumah ini secepat mungkin tanpa masalah.

     Setelah selesai berpakaian, Johan melangkah keluar dari bilik loteng itu. Perlahan langkah diambil menuruni tangga untuk ke ruang tamu tingkat bawah bertemu dengan Prof. E. Sambil itu, dia memerhatikan sekeliling rumah.

     “Kenapa rasa lain? Kenapa penuh dengan perabot? Semalam perabot tak banyak macam ni. Yang ada pun, ditutup dengan kain putih.” Johan berbisik kepada diri sendiri. Sesudah sampai ke ruang tamu, kelihatan Prof. E sedang tepat memandangnya.

     “Duduklah,” kata Prof. E. Johan perlahan melabuhkan punggungnya di sofa. Dipandangnya muka Prof. E dengan rasa penuh bersalah.

     Kruuuukkk!
     Kuat keroncong perut Johan berirama. Memalukan. Lebih memalukan Prof. E juga mendengarnya dan sedang tersenyum ke arahnya. Prof. E bangun dari tempat duduknya.

     “Jangan takut. Aku dulu pun pernah muda dan nakal.” Prof. E berjalan menuju ke dapur sambil cuba menenangkan. Diambilnya satu bungkusan roti dan diberinya kepada Johan di ruang tamu. Kemudian, Prof. E kembali duduk di tempatnya tadi. Johan mengucapkan terima kasih kepada Prof. E.

     “Aku ingat kau buat perkara tak senonoh kat atas tu semalam. Mana tahu, kau bawa masuk perempuan dan buat seks kat loteng rumah aku. Yalah, bogel, tidur dan lapar. It explains.” Johan senyum janggal mendengar ayat-ayat tidak ditapis Prof. E itu. Tangannya rakus membuka bungkusan roti tadi.

     “Saya minta maaf. Saya janji takkan buat lagi.” Johan kemudian melahap roti di tangannya. Dia dapat merasakan perutnya kosong dan dirinya sangat lapar. Lapar yang luarbiasa.

     “Sedap roti ni. Tak pernah nampak pun jenama ni,” sambil Johan membelek-belek bungkusan roti menggunakan tangan kiri. Mata Johan terbeliak ternampak sesuatu di bungkusan itu. Spontan, disemburnya keluar segala isi di dalam mulutnya. Johan mencampakkan roti di tangan kanannya dan berdiri.

     “Orang tua! Kau nak racun aku ke?” Johan menjerkah.
     “Sanggup kau bagi aku makan roti yang dah expired lapan tahun!” Johan mencampakkan bungkusan roti itu ke arah Prof. E dan berlari menuju ke pintu keluar. Disarungnya sepasang selipar bukan miliknya dan terus berlari pergi.

     Perlakuan itu membingungkan Prof. E.
     “Roti expired 8 tahun?” Prof. E mengutip bungkusan roti yang dicampak Johan tadi dari atas lantai. Dibeleknya bungkusan plastik itu untuk mencari catatan tarikh luput.

     “Ada seminggu lagi nak expired. Kenapa lapan tahun pula?” Prof. E menggelengkan kepala.
     “Anak muda zaman sekarang. Masa bermasalah beriya merayu. Masa nak melepaskan diri, kreatif sampai reka cerita aku nak racun.” Prof. E pandang ke arah pintu rumahnya yang terbuka luas.

     “Mungkin aku tak patut cepat percayakan dia tadi.”






BERSAMBUNG...[5]

Jul 20, 2012

Vorteks #3 Turun Bila-Bila Masa

0 nota kaki

[1][2]



     Masih ada 15 minit sebelum pukul sembilan malam.
     Profesor Erman, lebih dikenali sebagai Prof. E, kelihatan sedang menuruni tangga bangunan pejabat universiti tempat dia mengajar sambil membelek jam tangannya. Masih ada 15 minit, sempat lagi kalau mahu tonton rancangan TV kegemarannya. Dia mempercepat langkahnya. Semasa keluar dari bangunan, dia menjeling ke arah langit malam.

     Gelap.
     Berangin kencang.
     Hujan akan turun bila-bila masa.
     Harapnya dia sempat sampai ke rumah sebelum hujan sempat sampai ke tanah.
     Sampai sahaja di parkir, Prof. E membehentikan langkah, meratap pintu keretanya dan mengeluh panjang. Terdapat calar dari hadapan sisi kanan keretanya, panjang sehingga ke belakang. Dari kesan calar, ianya seperti disengajakan dengan menggunakan duit syiling.

     Prof. E hanya tunduk dan memejamkan matanya menahan marah.
     “Pelajar tak sedar dek untung. Nak belajar rajin-rajin, malas. Tapi bila markah peperiksaan rendah, nak salahkan pensyarah,” rungut sendiri Prof. E. Itulah hakikat yang harus diterimanya menjadi warga pendidik di universiti. Semakin dewasa seseorang itu, semakin besar juga ego dan kedegilan mereka, paling tidak itulah yang difikirkan Prof. E.

     Dengan hampa, dia membuka pintu kereta lama tahun 80-annya dan merebahkan punggung ke kerusi pemandu selepas meletakkan beg bimbit di kerusi sebelah. Tingkap diturunkan dengan memusingkan tuil, enjin dihidupkan selepas berkali-kali memusing kunci, lalu dia berlalu pergi.

     Selepas beberapa minit perjalanan menuju ke rumah, titisan air menghentam cermin hadapan kereta dan diikuti dengan beberapa lagi titisan seterusnya. Titisan itu semakin kerap, semakin banyak memberi isyarat hujan sudah turun. Prof. E menghidupkan fungsi penyelap cermin kereta dan memperlahan kelajuan keretanya. Sekali lagi dia mengeluh panjang, tetapi kali ini kerana hajatnya mahu sampai ke rumah sebelum hujan turun tidak kesampaian.

     Hujan makin lebat.
     Jarak antara universiti dengan rumah Prof. E tidaklah jauh mana, hanya dalam 15-20 minit perjalanan kereta. Tapi hujan akan melambatkan lagi waktu ketibaan kerana faktor jalan licin, penglihatan yang terhad dan paling utama, kemampuan kereta lama Prof. E untuk bertahan. Bukan kerana bakhil, tetapi faktor nilai sentimental yang membuatkan Prof. E tidak mahu bertukar kepada kereta yang lebih moden.

     Kereta Prof. E meredah hujan dan kini memasuki kawasan perumahan rumahnya. Dari jauh sudah nampak laman rumah banglo dua tingkat miliknya.

     Gelap. Tiada penghuni.
     Prof. E meletakkan keretanya di hadapan pintu pagar rumahnya. Memandangkan dia hanya tinggal sendirian, dia lebih gemar parkir keretanya di luar pintu pagar, memudahkannya untuk keluar masuk. Dia kemudian meraba-raba mencari payung yang difikirnya diletakkan di bawah kerusi tempat duduk belakang kereta.

     PLAAANNNGGGGG!
     Sekelip mata, petir menyambar loteng rumah banglo milik Prof. E. Kejadian itu menyebabkan beberapa kereta milik jiran di sekitar terhidup penggeranya. Lebih teruk, seluruh taman perumahan itu bergelap serentak kerana mengalami gangguan bekalan elektrik. Terdengar jiran-jiran mengeluh kuat.

     Prof. E segera keluar dari keretanya dan melupakan niatnya untuk berpayung. Dia mendongak melihat loteng rumahnya yang disambar petir. Matanya terbeliak.
     “Tak mungkin. Bukan hari ini. Aku dah buat kiraan dengan tepat. Patutnya ada enam hari lagi.”

     Segera dicapainya beg bimbit di kerusi sebelah, ditutup pintu kereta, dikuncinya, dan terus berlari masuk ke dalam rumah.
     Dari ruang tamu, ke tangga, ke tingkat dua, ke tangga loteng, Prof. E berlari anak tanpa menghiraukan kegelapan yang menyelubungi rumahnya. Dengan menggunakan kunci, segera dia membuka pintu bilik loteng, hanya untuk mendapati bilik itu dipenuhi dengan asap yang banyak.

     Terbakarkah?
     Bilik loteng adalah tempat Prof. E menjalankan kajian peribadinya. Segala fail sulit, perkakas dan kelengkapan, serta beberapa mesin yang berkaitan dengan kajiannya berada di situ. Jika bilik itu terbakar, maka habislah perjalanan kajiannya yang sudah diusahakan selama hampir 25 tahun itu.

     Tidak. Tidak terbakar.
Secara logik, jika wujud api kebakaran, bilik itu akan marak dengan cahaya dari api. Namun, bilik loteng gelap dan hanya dipenuhi asap, tiada sebarang cahaya. Yang peliknya, asap yang memenuhi bilik itu tidak bersifat panas. Tidak seperti asap kebakaran, ianya bersifat menyejukkan sehingga dapat dirasai Prof. E.

     Dalam kegelapan dan asap, Prof. E meraba kabinet tiga tingkat di sebelah pintu bilik loteng itu untuk mendapatkannya sebuah lampu suluh. Ditekannya suis penghidup, tapi tiada cahaya keluar. Selepas berkali-kali diketuknya, barulah lampu suluh itu hidup dan mengeluarkan cahaya.

     Perlahan langkah diambil, menerobos asap sejuk yang entah dari mana asalnya. Wajah Prof. E penuh tanda tanya. Apa yang berlaku? Dari mana asal asap tebal ini? Adakah ianya berkaitan dengan petir yang menyambar rumahnya tadi? Adakah aku sudah salah kira hari?

     Cahaya dari lampu suluh dalam asap membentuk jalur panjang cahaya. Cahaya itu berpusing-pusing, mengikut ke mana arah tangan Prof. E menghulurkan lampu suluhnya. Tiba-tiba Prof. E menetapkan cahaya lampu suluhnya kepada satu kelibat di lantai ruang tengah bilik itu. Dalam samar asap, kelihatan seperti kelibat sekujur tubuh manusia.

     Ya. Ianya memang kelibat manusia yang sedang terbaring dalam posisi fetal, tanpa seutas benang.

     Prof. E terkejut. Dia segera berlari kembali ke kabinet tiga tingkat di tepi pintu bilik dan mencari sesuatu di laci paling bawah. Sepucuk pistol, poin 38 BlackHawk berwarna perak.
Setelah dijumpanya barang yang dicari, dia kembali bergerak menghampiri manusia yang terbaring tadi.

     “Siapa kau?” Prof. E mengacukan pistolnya di tangan kanan ke arah manusia itu sambil tangan kirinya menghalakan lampu suluh. Tiada jawapan.

     “Siapa kau? Jawab sekarang atau aku tembak.” Masih tiada jawapan.
     “Macam mana kau boleh ada dalam bilik aku yang berkunci, dan terbaring bogel di situ?”


     Suasana masih sunyi, hanya kedengaran bunyi sayup penggera kenderaan di luar dan bunyi air hujan menghentam bumbung rumah berselangi dengan tiupan angin kencang.


BERSAMBUNG.
[4]

.

Jul 13, 2012

Vorteks #2 Masa Bumi Ditimpa Hujan.

0 nota kaki
[1]
     Angin dingin bertiup kencang. Langit kosong tanpa kerdipan bintang dek diselubungi awan sarat. Sekali-sekala terdengar dentuman guruh sayup jauh. Dengan kadar tiupan angin begini, bila-bila masa bumi akan ditimpa hujan.
      Jam tepat menunjukkan pukul sembilan malam.
      Dalam dingin malam, berdiri megah sebuah rumah banglo dua tingkat.
      Gelap.
      Kosong.
      Usang.
      Menyeramkan.

      Kurang 40 kaki, berdiri tiga anak muda dengan mata tepat menatap ke susuk rumah banglo itu. Johan, Azlan dan Fitri.

      “Rumah ni ditinggalkan kosong selama 8 tahun. Penghuni sebelumnya merupakan seorang professor fizik yang taksub dengan fenomena paranormal.” Fitri memulakan kata.
     “Satu malam lapan tahun lalu, loteng rumah ini pernah disambar petir mengakibatkan gangguan bekalan elektrik untuk seluruh taman perumahan. Keesokan harinya, jiran-jiran yang mengambil berat datang menziarah hanya mendapati rumah itu kosong. Tiada penghuni, tiada barangan peribadi. Hanya tinggal perabot dan satu kesan terbakar di loteng.”

     Gulp!
     Johan menelan air liur pekat. Azlan tersenyum minat.

      Fitri merupakan coursemate Azlan. Dia tinggal berdekatan rumah banglo itu, jadi dia ditugaskan menjadi pemandu pelancong kepada Azlan dan Johan memandangkan banyak sejarah rumah itu yang diketahuinya.

      “Azlan, kenapa kau bawa aku ke sini?” Suara Johan kedengaran bergetar.
      “Kan aku kata, nak beri kau pengalaman yang tak dapat kau lupakan. Jadi, kita akan menjelajah rumah misteri ini, malam ni.”
     “Kau tak takut ke?”
     “Lagipun, Han, kau kan ada exam lepas cuti minggu depan. Jadi, anggap je ni sebahagian dari acara me’release’kan tension kau tu.” Azlan tidak menjawab soalan Johan.

       Pada Johan, ianya satu idea yang bagus. Mungkin Azlan sudah bosan mendengar Johan kerap kali merungut tentang subjek perubatannya yang susah, panjang, dan memenatkan. Mungkin ini peluang untuk dia menekan butang refresh dalam otaknya supaya dapat menghabiskan baki kurang dua tahun lagi sebelum bergelar doktor.
     Kalau aku boleh ke masa lampau, aku nak nasihatkan diri aku pada waktu itu, ‘JANGAN AMBIL JURUSAN PERUBATAN’. Itulah yang pernah diperkatakan Johan kepada Azlan dalam sesi melepaskan tekanan dengan teman sebiliknya itu.

      Setitis air dari langit jatuh tepat mengenai pipi Azlan. Titisan air itu semakin kerap, petanda hujan sudah mula turun. Johan, Azlan dan Fitri tiada pilihan kecuali mara ke hadapan memasuki kawasan banglo usang itu dan berteduh di hadapan pintu masuk rumah.

      “Dengar sini, kita akan masuk ke dalam dan berjalan-jalan ke setiap bilik yang ada. Jangan ambil apa-apa barangan dalam rumah ni. Kalau bernasib baik dan dapat rasa kehadiran ‘sesuatu’...” Fitri menunjukkan isyarat koma di atas dengan kedua-dua jari telunjuk kiri dan kanan untuk perkataan ‘sesuatu’ itu.
      “...sila dengan pantasnya ambil gambar. Masing-masing ada handphone dengan kamera, kan?” Azlan dan Johan mengangguk kepala tanda setuju.

      Fitri memulas tombol pintu, tidak berkunci. Mereka bertiga masuk dalam satu barisan dengan Fitri di hadapan, Johan di tengah dan Azlan di belakang. Perlahan langkah diambil, takut tersepak sesuatu yang mampu membuat bising sekaligus menyedarkan jiran-jiran sekeliling tentang kehadiran mereka. Mereka sedar, mereka sedang menceroboh. Disebabkan itulah, tidak digunakannya mereka lampu suluh kerana ternampaknya cahaya dari rumah yang lapan tahun ditinggalkan adalah sangat mencurigakan.

      Di luar, hujan semakin ligat mencurah bumi. Angin bertiup kencang sehingga menggoncang dahan-dahan pokok besar di hadapan banglo itu. Geseran angin dengan daun-daun jelas kedengaran. Sekali-sekala guruh meriuhkan lagi suasana.

      Di ruang tamu, kebanyakan perabot ditutup dengan kain putih untuk menghalang habuk. Tiada perkakas elektrik kelihatan. Rumah ini memang ditinggalkan penghuninya. Fitri, Johan dan Azlan bergerak bersama-sama, perlahan menuju ke dapur. Mereka begitu teliti dengan langkah masing-masing sambil mata memerhatikan sekeliling. Takut sudah tentu, tapi tiada yang mampu melawan sifat ingin tahu tiga pelajar universiti ini.

      AN AN AN.
     Tottemo daisuki.
     DORA-E-MO-N.
     Riuh nada dering memecah kesunyian.

      Azlan dan Fitri serentak menoleh memandang Johan. Johan hanya tersenyum.
      “Aku kena angkat call ni, mak aku yang call.” Johan menerangkan.
      Seriously? Doraemon?” usik Azlan.
      “Mak aku suka Doraemon lah. Aku setkan ringtone ni khusus untuk dia.” Nada dering Doraemon terus berkumandang. Johan menekan butang ‘silent’ pada telefon bimbitnya tapi tidak membatalkan panggilan.

      Johan meninggalkan Azlan dan Fitri di dapur dan menuju ke pintu depan yang dilalui mereka tadi. Kali ini dia tidak mengendahkan bunyi tapak kaki yang dilakukannya, kerana padanya tiada apa yang lebih penting dari menjawab panggilan dari ibunya.

      Butang hijau ditekannya.

      “Assalamualailum. Hello.”
     Sunyi dari sebelah talian sana. Johan sudah berada di pintu depan banglo itu. Masih tidak kedengaran apa-apa jawapan dari talian sebelah ibunya.

      “Hello? Mak? Hello!”
     Dipandang telefonnya. Diletakkannya kembali ke telinga. Dipandangnya kembali telefonnya. Perlakuannya agak melucukan, namun memandangkan tiada yang memerhati, tidak diendahkannya. Paling tidak, itu yang difikirkannya.

      TEET! TEET! TEET!
     Bunyi amaran dikeluarkan dari telefon skrin sentuhnya itu, diikuti dengan terpadamnya semua lampu paparan secara serentak, menandakan bateri sudah habis.

      Celaka!
     Johan menyimpan kembali telefon bimbitnya ke dalam kocek seluar. Selepas dua tiga langkah dia hendak menuju ke dapur menyertai Azlan dan Fitri, langkahnya terhenti.

      Mata Johan terpaku ke arah tangga yang mengarah ke atas. Tangga yang tidak diperasan oleh dia mahupun kawan-kawannya sebentar tadi. Lebih lima saat Johan mengamati tangga itu. Tiada apa yang difikirkannya, hanya sifat ingin tahu yang menjalar ke segenap nadi dirinya.

      PLAAANNNGGGGG!
     Bunyi petir kuat menyambar sesuatu berhampiran, sekaligus menjadikan suasana menjadi semakin gelap. Sayup terdengar bunyi alarm kereta yang terkesan dari dentuman guruh dan panahan petir itu.

      Azlan dan Fitri di dapur percaya, akibat dari sambaran petir itu, seluruh taman perumahan itu ketiadaan tenaga elektrik. Keadaan sangat gelap tanpa simbahan lampu jalan.

      “JOHAN! Kau kat mana?” Azlan menjerit, memanggil.

      Namun tiada jawapan.

 
BERSAMBUNG.
[3]

Jul 6, 2012

Vorteks #1 Pilot

0 nota kaki



N19-BANDAR SELATAN: Spekulasi perkahwinan penyanyi dari kumpulan rock terkenal negara, Yusran Abdul Hamid, 38, dengan pelakon jelita, Intan Farhani Ahmad, 24, akhirnya terjawab apabila pasangan berkenaan mengumumkan tarikh pernikahan dan majlis resepsi mereka, di sini, semalam. Pasangan itu akan disatukan sebagai suami isteri di Masjid Besar Arahjaya pada jumaat, 23 Mac depan selepas solat Asar. Manakala majlis resepsi…

     “Bla, bla, bla…

     Johan menggerakkan tetikus komputer ribanya ke tanda pangkah, menutup laman sesawang berita dalam talian. Ditenungnya skrin komputer itu tanpa tujuan. Dia membetulkan kedudukan punggungnya di atas kerusi meja belajar itu, seperti ada sesuatu yang tidak kena.

     Selaku pelajar jurusan perubatan, dia sememangnya sering mengikuti perkembangan masa kini hanya secara talian. Hiburan, sukan, ekonomi, politik, semua dapat diperolehi dengan segera. Selain menjimatkan masa dan duit belanja tanpa perlu menghabiskan tenaga ke kedai membeli akhbar, ianya juga amat boleh dipercayai berbanding media cetak arus perdana yang lebih gemar menggembar-gemburkan cerita.

     “Marah ke Han?” Azlan menegur dari belakang, sekaligus mengejutkan Johan yang sedikit terbuai dek lamunan perasaan.

     “Nak marah apa?” Johan memusingkan kerusi yang didudukinya ke arah Azlan.

     “Kau tutup berita kahwin Yusran dengan Hani tu macam gaya kau nak hentak laptop tu tanpa belas kasihan.”

     “Seminggu lagi.” Johan menunduk.

     “Seminggu lagi tarikh pernikahan dia, Lan.”
     Azlan ketawa kecil.

     “Kau memang fikir kau boleh dapat dia ke, Han?”

     “Aku boleh cuba…”

     “Jangan. Dia cuma ‘square root of negative one girlfriend’ kau je.”

     Square root of negative one girlfriend. Untuk memahami frasa tersebut, kita perlu mengenal siapa Azlan.

     Azlan ialah teman sebilik Johan di universiti. Walaupun Johan pelajar jurusan perubatan, namun Azlan adalah pelajar jurusan kejuruteraan awam. Azlan dikatakan sangat pandai dalam bidangnya sampaikan sehingga kini, setiap semester, dia memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 4.00 tanpa gagal. Disebabkan kebijaksanaan itulah, Azlan dikenali sebagai ‘Academic Joker’ kerana dia sering buat kelakar dengan memasukkan istilah akademik yang kadang-kadang tidak difahami sesetengah kelompok rakannya.

     Dalam konteks frasa ‘square root of negative one girlfriend’, ‘square root of negative one’ disebut ‘imaginary’ dalam istilah matematik. Maka, istilah ‘square root of negative one girlfriend’ bermaksud ‘imaginary girlfriend’, merujuk kepada Hani, seorang artis terkenal, yang ingin dijadikan teman wanita oleh Johan. Hubungan artis dan peminat yang pada Azlan hanyalah ‘imaginary’ sedangkan Johan begitu terkesan.

     “Aku percaya, dia tak tahu pun kewujudan kau di dunia ni. Macam mana pula kau nak rampas perempuan yang bakal jadi isteri orang dalam masa tujuh hari lagi?”

     Azlan cuba meyakinkan Johan, walaupun jauh di sudut hati, dia merasakan Johan sangat tak rasional. Manakan tidak, jatuh cinta sepenuh hati dengan artis kegemaran. Get a life.

     “Can you believe? Dari berjuta-juta lelaki dalam dunia ni, kenapa Hani nak jadikan si douchebag macam Yusran tu untuk dijadikan suami?”

     Yusran merupakan salah seorang dari empat ahli kumpulan rock yang terkenal negara, kumpulan FRU. FRU adalah singkat kepada Fire Recite Unit, melambangkan bahawa semangat rock dalam perjuangan seni mereka. Namun itu dahulu. Selepas melangkaui zaman kegemilangan mereka, populariti FRU hanya dikenali sebagai kumpulan rock yang sudah hilang taring kerana kebanyakan lagu mereka kini berentak perlahan dan penuh bait-bait cinta, tidak seperti 8 tahun dahulu yang penuh dengan semangat remaja dan pemberontakan perasaan. Yusran, selaku vokalis kumpulan itu juga terkenal dengan sifat kaki kelab dan perempuan. 15 tahun dalam industri seni, hampir 30 artis wanita dikaitkan dengannya, semuanya diakhiri dengan berita buruk.

     “Sebenarnya, aku tak kisah sangat kalau Hani nak akhiri zaman bujang dia. Dari segi usia, memang sudah masanya.”
     Azlan mengangguk faham.

     “Tapi, yang buatkan aku marah, dan buatkan semua lelaki di luar sana marah, adalah dia memilih untuk menamatkannya dengan lelaki macam Yusran tu.”

     Kata-kata Johan ada benarnya.

     Hani terkenal sebagai artis yang berimej bersih dan sopan. Berkulit putih, bersuara lembut, dan memiliki senyuman yang memikat, Hani merupakan gadis idaman setiap lelaki dan menjadi mangsa cemburu kebanyakkan perempuan. Tidak pernah timbul kontroversi buruk mengenai dirinya membuatkan dia digelar ‘Everybody’s Sweetheart’.

     Maka, kenyataan media bahawa Hani dikatakan sedang berpasangan dengan Yusran pada mulanya dianggap sebagai gurauan busuk para pencetus gosip negara. Namun, selepas kenyataan dikeluarkan secara rasmi oleh mereka berdua dua bulan lalu, satu negara tergamam. Bagaimana seorang gadis idaman seantero dunia mampu bersama dengan Yusran yang menjadi cemuhan masyarakat.

     “People say third time is the charm. But for me, thirty IS the charm. Haha!”
     Itulah penyataan yang pernah dikemukan Yusran bila ditanyakan tentang hubungan dia yang pernah dikaitkan dengan 29 orang artis wanita sebelum ini. Malangnya, yang ke-30 ialah Hani.

     “Beginilah. Aku tak ada cara nak jadikan hidup kau lebih baik...”
     Azlan cuba menenangkan Johan.

     “Tapi, aku ada cara bagaimana kau boleh asingkan fikiran kau dari memikirkan hal ni, buat masa ni.”
     “Macam mana? Kalau dadah, aku tak nak.”

     “Hoi, aku tak sebodoh tu lah!” Azlan meninggikan nada, tapi dia tahu, Johan hanya bergurau.

     “Malam ni, kau siap. Aku akan bawa kau ke satu tempat dan rasai pengalaman yang takkan kau lupakan.”

     Selalunya, idea dari Azlan tidak pernah mengecewakan. Johan terlalu kenal dengan rakan sebiliknya itu, sehinggakan tanpa perlu penerangan lanjut, dia terus bersetuju.

     “Baiklah.”




BERSAMBUNG..
[2]
.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...